Hotel Utama Labuan Tawar Harga Bilik Istimewa Untuk Festival Flora Borneo Bulan Depan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 12 Jun (Bernama) -- Hotel utama di seluruh pulau bebas cukai ini menawarkan kadar harga bilik istimewa sebagai sokongan kepada Festival Flora Borneo (BFF) yang julung kali diadakan dari 26 hingga 30 Julai di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Antara pengusaha hotel utama yang menyokong acara selama lima hari itu iaitu penginapan lima bintang terkemuka di pulau berkenaan, Dorsett Grand Labuan dan Tiara Hotel Labuan yang kedua-duanya menawarkan promosi eksklusif bagi menyambut kedatangan ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Kadar harga bilik istimewa ini akan tersedia dari 25 hingga 31 Julai, meliputi keseluruhan tempoh festival selain membolehkan tetamu menikmati penginapan yang lebih lama sebelum dan selepas acara berlangsung.

Dorsett Grand Labuan, satu daripada hotel perniagaan lima bintang di Labuan kini menawarkan kadar menarik bersempena dengan musim yang akan datang.

Pengurus Besarnya Masni Shaik Dali berkata hotel tersebut berbangga dapat menyokong BFF sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap industri pelancongan dan hospitaliti di wilayah itu.

Katanya, sokongan berkenaan dapat meletakkan pulau ini sebagai destinasi yang meriah untuk acara pelancongan budaya dan ekopelancongan.

“Hotel ini mula menerima tempahan secara berterusan terutamanya daripada pegawai kerajaan dari seluruh Malaysia serta pelancong dari Brunei dan Kalimantan,” katanya.

Di Tiara Labuan Hotel yang berdekatan, sebuah lagi hotel lima bintang di Labuan yang terkenal dengan suasana yang tenang dengan kemudahan mesra keluarga, “Promosi Kadar Harga Bilik Istimewa” turut diperkenalkan khas untuk tetamu BFF.

Pengarah Urusannya Chai Tze Kee berkata ketiga-tiga hartanah di bawah pengurusannya (termasuk Lazenda Hotel dan Palm Beach Resort & Spa) turut menyertai program sokongan penginapan festival itu selain memastikan penginapan yang selesa untuk para tetamu yang hadir.

“Tiara Labuan menawarkan bilik deluxe yang luas dengan balkoni dan akses ke kolam renang pada kadar istimewa bermula dari RM200 semalam (tidak termasuk sarapan) dan RM220 semalam dengan sarapan.

“Semua tempahan termasuk perkhidmatan Wi-Fi percuma dan pengangkutan ulang alik (berdasarkan siapa cepat dia dapat),” katanya.

Selain hotel-hotel ini, Aifa Hotel, AZ Hotel, Labuan Point Hotel dan Marina Hotel juga menyertai rangkaian penginapan rasmi untuk festival berkenaan dengan menawarkan pelbagai pakej melalui platform tempahan hotel rasmi acara tersebut.

Dalam pada itu, Perbadanan Labuan sebagai penganjur utama berkata dengan lebih 50,000 pengunjung dijangka menghadiri festival ini, pengusaha hotel di seluruh pulau itu sedang bekerjasama rapat dengan penganjur acara bagi menyediakan perkhidmatan nilai tambah serta pengalaman yang lancar bagi para tetamu.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata promosi bilik berkenaan mencerminkan usaha yang lebih meluas oleh industri hospitaliti tempatan bagi menyokong BFF selain menghidupkan semula pelancongan di pulau ini melalui acara berskala besar dan terangkum yang mengetengahkan tarikan semula jadi serta budaya.

Perbadanan Labuan turut menasihatkan kepada para pengunjung festival supaya membuat tempahan penginapan lebih awal susulan permintaan dijangka meningkat menjelang acara itu.

-- BERNAMA