Bursa Malaysia Catat Prestasi Bercampur-campur Pada Tengah Hari, KLCI Melonjak 0.17 Peratus

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pada tengah hari, berikutan penurunan di keseluruhan pasaran diimbangi peningkatan di beberapa kaunter wajaran tinggi, sekali gus mendorong indeks penanda aras itu meningkat sedikit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.62 mata kepada 1,526.46, meningkat 0.17 peratus daripada 1,523.84 ketika ditutup pada Rabu. Peningkatan itu diterajui saham  Maybank, YTL Power, dan CelcomDigi. 

Maybank meningkat sembilan sen kepada RM9.79, manakala YTL Power dan CelcomDigi masing-masing menokok lapan sen kepada  RM3.73 dan RM3.80. Keseluruhannya, tiga kaunter berkenaan menyumbang 3.80 kepada indeks.

Penanda aras FBM KLCI dibuka tinggi, menambah 3.87 mata kepada 1,527.71 dan bergerak antara 1,523.22 dan 1,528.72 sepanjang sesi pagi.

Pasaran secara keseluruhannya lemah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung daripada 446 kepada 278, manakala 477 kaunter tidak berubah, 1,194 tidak diniagakan dan 17 digantung.

 Hong Leong Investment Bank Bhd berkata bursa tempatan ditutup tinggi pada Rabu, menjejaki prestasi Wall Street dan pasaran serantau, disokong oleh sentimen lebih baik dan aktiviti dagangan yang meningkat.

“KLCI mungkin terus berlegar dalam julat yang tidak berubah, dengan kecenderungan menaik secara sederhana, dipacu oleh penamatan pusingan kedua rundingan perdagangan AS-China di London.

“Namun begitu, sentimen pasaran yang lebih luas kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan berkaitan perjanjian tarif AS-Malaysia yang masih belum dimuktamadkan serta kelaziman prestasi bulan Jun yang lemah. Keyakinan pelabur kekal tertekan dalam persekitaran perdagangan global yang tidak menentu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi lain, IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM6.90, Petronas Gas melonjak 16 sen kepada RM17.86, Maxis naik empat sen kepada RM3.63, dan Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM3.35.

Dalam dagangan aktif, Jiankun naik setengah sen kepada tiga sen, manakala MYEG, Tanco dan Velesto kekal tidak berubah masing-masing pada 97 sen, 97.5 sen dan 18.5 sen.

Di papan indeks, FBM Emas naik 7.98 mata kepada 11,445.72, FBMT 100 meningkat 10.40 mata kepada 11,213.94, dan FBM Emas Shariah menambah 8.03 mata kepada 11,400.70.

Indeks FBM 70 susut 19.92 mata kepada 16,505.30, manakala FBM ACE turun 36.0 mata kepada 4,508.05.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 6.54 mata kepada 730.31, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 2.31 mata kepada 17,781.46. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.03 mata kepada 152.28, manakala Indeks Perladangan turun 9.32 mata kepada 7,204.50.

 -- BERNAMA