BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 7-0 PDRM FC | MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | 

IPI Malaysia Diunjur Sederhana Sebanyak 2.0 Peratus Pada 2025 - MIDF Amanah

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia yang berkembang pada kadar perlahan 2.7 peratus tahun ke tahun pada April, dijangka berkembang sederhana sebanyak 2.0 peratus pada 2025, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Amanah).

Bank pelaburan itu berkata, ia mengekalkan unjurannya bagi IPI menjadi sederhana kepada 2.0 peratus susulan pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini bahawa indeks itu meningkat sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun dalam empat bulan pertama tahun ini (Jan-April 2024: 3.6 peratus).

Menurut DOSM, IPI merekodkan pertumbuhan 3.8 peratus pada 2024.

“Berikutan ketidaktentuan berterusan daripada tarif yang lebih tinggi dan ketegangan perdagangan yang semakin sengit, pengeluaran produk berorientasikan eksport, terutamanya barangan perkilangan akan terjejas oleh permintaan luar yang lebih lemah dan aktiviti pembuatan global yang lebih perlahan.

“Bagaimanapun, menambah belian dan rangsangan sementara kepada aktiviti perdagangan masih boleh menyokong sektor yang mudah terjejas itu daripada terdedah kepada kelembapan luaran,” kata MIDF Amanah dalam satu nota.

Katanya, walaupun mungkin terdapat sokongan jangka pendek susulan keputusan Amerika Syarikat menangguhkan sementara pelaksanaan tarif timbal balik, kemajuan yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan yang sedang berlangsung akan menjadi penting untuk mengurangkan kesan buruk ketegangan perdagangan terhadap prospek permintaan dan aktiviti pengeluaran pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan pertumbuhan positif (unjuran) bagi IPI pada masa ini, kerana kami menjangkakan pengeluaran, terutamanya dalam sektor berorientasikan tempatan untuk terus berkembang di sebalik peningkatan permintaan dalam negeri,” katanya.

-- BERNAMA