BERITA TERKINI   Gangguan bekalan stesen penjana di Melaka punca beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru putus bekalan elektrik - TNB | Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | 

Malaysia Teroka Sumber Alternatif Kayu Penuhi Permintaan Global - FRIM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Malaysia komited untuk meneroka serta membangunkan sumber alternatif kepada kayu menerusi pendekatan strategik, inovatif dan mampan bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk kayu tempatan.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu penting bukan sahaja demi kelangsungan industri perkayuan negara, malah untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara pengeksport utama produk kayu di peringkat antarabangsa.

"Seiring dengan peningkatan permintaan global terhadap produk kayu tempatan, keutamaan kini diberikan kepada jaminan bekalan bahan mentah yang mampan dan berterusan," menurut FRIM.

Industri perkayuan negara mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan jumlah eksport bernilai RM22.9 bilion pada tahun lepas.

Menurut FRIM, kayu memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan perabot, penghasilan biofuel dan biokomposit. Namun begitu, peranan hutan asli dalam menyediakan perkhidmatan ekosistem seperti kawalan perubahan iklim menjangkaui kepentingan hasil kayu semata-mata.

Sehubungan itu, katanya, usaha mencari alternatif lestari kepada sumber kayu dilihat semakin mendesak.

Sebagai langkah proaktif, kerajaan menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hutan semula jadi.

"Program ini merangkumi penanaman lapan spesies pokok bernilai tinggi seperti akasia, khaya, jati dan kelempayan, serta tanaman cepat tumbuh seperti eucalyptus dan buluh yang berpotensi memenuhi keperluan industri tanpa menjejaskan hutan asli," jelas FRIM.

FRIM turut memainkan peranan penting dalam inisiatif berkenaan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menumpukan kepada bidang perladangan hutan, pembaikbiakan pokok berkualiti, teknologi pemprosesan dan analisis kualiti kayu.

"Hasil kajian FRIM membuktikan potensi tinggi beberapa spesies pokok ladang terpilih dalam memenuhi keperluan industri serta menyokong kelestarian alam sekitar," katanya.

-- BERNAMA