Selera Pelabur Terhadap Aset Malaysia Meningkat Dipacu Penghindaran Risiko Global

Oleh Abdul Hamid A Rahman and Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Aliran masuk modal asing ke Malaysia yang mencatat paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun baru-baru ini mencerminkan selera pelabur global yang semakin meningkat terhadap aset Malaysia, meskipun suasana pasaran dunia masih dibayangi ketidaktentuan.

Semalam, Kenanga Investment Bank Bhd melaporkan bahawa pasaran modal Malaysia mencatatkan aliran masuk bulanan tertinggi sejak Mac 2016, berjumlah RM14.4 bilion pada Mei 2025 yang disumbangkan terutamanya menerusi belian bersih bon tempatan sebanyak RM13.4 bilion oleh pelabur asing.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata momentum positif ini didorong oleh keadaan mikroekonomi yang menyokong selain pemulihan teknikal selepas pengaliran keluar modal pada April.

“Aliran masuk ini sebahagian besar dipacu oleh pembetulan teknikal pasaran, disokong oleh kestabilan politik dan kejelasan fiskal, khususnya mengenai peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh kerajaan yang memberi impak besar terhadap sentimen pelabur," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam perbandingan serantau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku pertama 2025, melebihi Singapura (3.8 peratus), Thailand (3.1 peratus) dan hanya sedikit di belakang Indonesia (4.87 peratus).

Berhubung inflasi, Mohd Sedek berkata inflasi utama Malaysia berada pada paras rendah 1.5 peratus, mencerminkan keseimbangan antara permintaan dan penawaran serta aktiviti domestik yang kekal kukuh.

“Selain angka utama, keyakinan pengguna turut memainkan peranan penting dalam menilai hala tuju pelaburan,” katanya.

Indeks Keyakinan Pengguna Malaysia meningkat 12.3 mata sepanjang tahun lepas kepada 59.5, mendahului Indonesia (59.1), Singapura (52.0) dan Thailand (49.8), dan ini memberikan isyarat jelas bahawa sentimen isi rumah semakin pulih, sekali gus menyokong pertumbuhan KDNK dan keuntungan korporat.

Menurut Mohd Sedek, meskipun Indeks Keyakinan Pengguna Global menunjukkan penurunan pada Mei 2025, Malaysia mencatat kenaikan 1.1 mata hanya dalam April, sekali gus mengukuhkan persepsi negara ini sebagai destinasi mesra pelabur.

Beliau turut menekankan terdapat minat baharu terhadap bon kerajaan Malaysia, yang didorong oleh ketidaktentuan dasar perdagangan global dan usaha pelabur mencari hasil pulangan yang stabil.

“Penarafan kredit kedaulatan Malaysia yang bertaraf pelaburan, A3 dengan unjuran stabil oleh Moody’s, BBB+ oleh Fitch, dan A- oleh S&P, menjadi tunjang kepercayaan pelabur institusi terhadap kredibiliti fiskal negara,” katanya.

Keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus turut menyediakan pelindung terhadap kejutan kadar faedah luar negara, manakala sebarang pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bakal memberi ruang dasar tambahan kepada Malaysia, kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Dr Yeah Kim Leng berkata gelombang aliran modal semasa turut didorong oleh faktor luaran, termasuk defisit fiskal AS yang meningkat, pengumuman tarif oleh Donald Trump, dan penurunan penarafan kredit kedaulatan AS.

“Aset AS yang sebelum ini dilihat sebagai aset selamat kini semakin kurang menarik. Akibatnya, portfolio global mula beralih ke arah pasaran stabil seperti Malaysia,” katanya.

Yeah berkata reformasi fiskal Malaysia yang kukuh, asas ekonomi yang semakin baik dan penarafan pelaburan yang teguh menarik aliran masuk modal jangka pendek dan panjang.

“Malaysia kini muncul antara destinasi utama pelabur antarabangsa dan serantau, dengan pertumbuhan sederhana kukuh, pendapatan per kapita tinggi selepas Singapura, serta sistem kewangan yang mendalam dan matang,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan bahawa keupayaan Malaysia untuk menarik pelaburan langsung asing terutamanya dalam sektor semikonduktor dan pusat data, terus menyokong statusnya sebagai pasaran aset ASEAN peringkat teratas.

Dalam sektor bon pula, peningkatan minat terhadap bon kerajaan dan sukuk korporat berkualiti tinggi terus didorong oleh inflasi rendah, prospek fiskal yang semakin baik, dan penarafan stabil.

"Bagi aliran keluar modal, saya percaya kemerosotan asas ekonomi AS sebenarnya boleh menyebabkan aliran keluar dari AS yang berterusan, berbanding mencetuskan aliran keluar dari pasaran membangun seperti Malaysia," kata Yeah.

-- BERNAMA