Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Naik 0.45 Peratus
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu apabila para pelabur lebih optimis berikutan pengumuman perjanjian rangka kerja perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, yang merangkumi peruntukan bagi perdagangan teknologi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.89 mata, atau 0.45 peratus kepada 1,523.84 daripada paras penutup 1,516.95 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 3.91 mata kepada 1,520.86 pagi ini, yang merupakan paras terendahnya hari ini, dan seterusnya bergerak ke paras tertinggi 1,530.85 pada sesi awal.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 545 berbanding 375, manakala 528 kaunter tidak berubah, 921 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.59 bilion daripada 2.72 bilion unit bernilai RM2.09 bilion pada Selasa.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata perkembangan dalam rundingan perdagangan AS-China menandakan langkah membina ke arah meredakan ketegangan, walaupun ia tidak begitu mencapai matlamatnya.
Pasaran tempatan mendapat sokongan tambahan daripada data makroekonomi menggalakkan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.8 peratus pada April 2025, mencecah RM160.6 bilion.
"Terutamanya, industri berorientasikan dalam negeri terus berkembang sebanyak 3.6 peratus pada April, meningkat daripada peningkatan 1.8 peratus pada Mac.
“Walaupun petunjuk ini lazimnya dianggap ketinggalan, ia tetap penting dalam memberi isyarat bahawa sektor ekonomi dan eksport Malaysia pada asasnya kekal kukuh walaupun ketidaktentuan perdagangan global," katanya.
Mohd Sedek berkata sentimen pelabur terus mendapat rangsangan daripada peningkatan dalam aktiviti dagangan apabila jumlah dagangan melantun semula ke paras yang lebih normal, melepasi paras tiga bilion saham selepas merosot sekitar 2.7 bilion saham selama lima hari dagangan berturut-turut.
“Kaunter kewangan, utiliti dan berkaitan pusat data menerajui kaunter untung, mencerminkan keyakinan baharu terhadap sektor yang berteraskan permintaan domestik dan aliran struktur jangka panjang,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM9.70, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.24, Public Bank dan CIMB meningkat lima sen masing-masing kepada RM4.31 dan RM6.90, manakala IHH susut tiga sen kepada RM6.86.
Saham untung utama dalam pasaran diterajui kaunter produk dan perkhidmatan pengguna, dengan F&N meningkat 64 sen kepada RM28.44, diikuti Nestle yang menokok 56 sen kepada RM75.56, dan Allianz naik 26 sen kepada RM19.38.
Dalam kalangan kaunter cergas, MYEG naik dua sen pada 97 sen, TWL tidak berubah pada 2.5 sen, YTL Corporation meningkat 16 sen kepada RM2.18, Gamuda menokok enam sen pada RM4.76 dan Tanco menambah satu sen kepada 97.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 43.61 mata kepada 11,437.73, Indeks FBMT 100 meningkat 43.99 mata kepada 11,203.54, Indeks FBM Emas Shariah menokok 23.45 mata kepada 11,392.67, Indeks FBM 70 menambah 38.56 mata kepada 16,525.22, manakala Indeks FBM ACE naik 33.27 mata kepada 4,544.05.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 0.46 mata kepada 723.77, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 84.85 mata kepada 17,779.15, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.40 mata kepada 152.31, dan Indeks Perladangan mengukuh 3.79 mata kepada 7,213.82.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.41 bilion unit bernilai RM2.32 bilion daripada 1.26 bilion unit bernilai RM1.88 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.61 bilion unit bernilai RM1.75 juta daripada 1.15 bilion unit bernilai RM108.32 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengecil kepada 255.08 juta saham bernilai RM93.16 juta daripada 311.24 juta saham bernilai RM95.09 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 228.4 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (222.94 juta), pembinaan (153.71 juta), teknologi (215.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (75.25 juta), hartanah (196.82 juta), perladangan (15.42 juta), REIT (27.28 juta), dana tertutup (25,200), tenaga (74.84 juta), penjagaan kesihatan (46.98 juta), telekomunikasi dan media (40.26 juta), pengangkutan dan logistik (16.93 juta), utiliti (94.07 juta), dan amanah perniagaan (493,000).
-- BERNAMA