BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

FBM KLCI Meningkat Pada Tengah Hari Ketika Pasaran Tertumpu Rundingan Perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dalam wilayah positif, di tengah-tengah keyakinan namun berhati-hati dalam pasaran sementara menunggu hasil rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.36 mata kepada 1,524.31 daripada 1,516.95 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 3.91 mata kepada 1,520.86 -- paras terendah setakat hari ini -- dan naik sehingga 1,530.85 sepanjang sesi dagangan itu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 459 berbanding 364 manakala 474 kaunter tidak berubah, 1,072 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.0 bilion unit bernilai RM1.16 bilion.

Public Bank Investment Bank Bhd berkata pasaran saham global meningkat apabila perbincangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu berlangsung pada hari kedua.

“Saham telah mengalami lonjakan sejak menyusut kira-kira 20 peratus daripada paras tertinggi dua bulan lepas selepas beberapa siri pengumuman tarif yang mengejutkan pasaran kewangan, dan membangkitkan kebimbangan terhadap jangkaan kemelesetan.

“Sebahagian besar daripada peningkatan ini berikutan harapan Trump akan menurunkan tarif selepas mencapai perjanjian perdagangan dengan beberapa negara di seluruh dunia,” katanya dalam nota penyelidikan.

Antara saham wajaran tinggi, CIMB naik sembilan sen kepada RM6.94, YTL Power dan YTL Corporation masing-masing meningkat 11 sen kepada RM3.62 dan RM2.13 dan Public Bank bertambah dua sen kepada RM4.28 manakala CelcomDigi tidak berubah pada RM3.78.

Kaunter untung utama diteraju Allianz yang menokok 30 sen kepada RM19.42, diikuti Sunway Construction dengan kenaikan 26 sen kepada RM6.23, dan F&N dan Batu Kawan masing-masing menokok 18 sen kepada RM27.98 dan RM19.18.

Bagi saham aktif, MYEG meningkat satu sen kepada 96.0 sen manakala TWL dan Ta Win tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 43.27 mata kepada 11,437.39, Indeks FBMT 100 meningkat 44.49 mata kepada 11,204.04, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 32.26 mata kepada 11,401.48.

Indeks FBM 70 bertambah 27.66 mata kepada 16,514.32 dan Indeks FBM ACE naik 4.44 mata kepada 4,515.22.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 152.33, Indeks Perladangan mengukuh 19.65 mata kepada 7,229.68 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 74.95 mata kepada 17,769.26.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 0.11 mata kepada 723.42.

 -- BERNAMA