Insiden Putra Heights Tingkat Kesedaran, Pertumbuhan Insurans – Liberty CEO
Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) – Industri insurans am Malaysia dijangka terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang berikutan kesedaran yang lebih tinggi terhadap kepentingan perlindungan insurans selepas insiden letupan gas di Putra Heights.
Ketua Pegawai Eksekutif Liberty General Insurance Bhd, Puneet Pasricha (Pasha) berkata pertumbuhan industri itu akan didorong oleh minat yang tercetus semula untuk mendapatkan perlindungan insurans dan peningkatan jumlah pengambilan polisi oleh pemilik rumah dan isi rumah.
Menurut GlobalData, syarikat data dan analitik utama, industri insurans am Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 7.8 peratus kepada RM30.5 bilion pada 2028 daripada RM22.6 bilion pada 2024 dari segi premium bertulis langsung (DWP).
"Saya percaya angka itu akan terus meningkat kerana kejadian seperti letupan saluran paip di Putra Height baru-baru ini telah mendorong pemilik rumah dan isi rumah untuk mengambil polisi insurans," kata Pasha kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Letupan saluran paip di Putra Heights telah mencederakan 150 orang dan menjejaskan kira-kira 49 rumah, dengan bahang panas daripada api yang marak mencairkan kereta, motosikal, paip plastik, tangki air dan kamera CCTV.
Insiden itu telah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan untuk menginsuranskan rumah dan harta benda serta dijangka memacukan lagi pertumbuhan insurans am, kata Pasha.
“Malang sekali, kejdian ini turut mendedahkan realiti sebenar bahawa ramai pemilik rumah di Malaysia sama ada tidak menginsuranskan rumah mereka atau tidak menyedari setakat mana sebenarnya perlindungan yang mereka perlukan,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan rumah di Malaysia masih tidak diinsuranskan untuk kebakaran atau banjir, dengan penembusan polisi yang komprehensif masih rendah.
Kadar Penembusan Masih Rendah
Walaupun sebahagian besar pemilik rumah dengan gadai janji biasanya mempunyai insurans kebakaran asas berikutan keperluan bank, beliau berkata kadar penembusan bagi polisi komprehensif pemilik rumah atau isi rumah yang meliputi pelbagai bahaya, termasuk kebakaran dan banjir, masih agak rendah.
"Ini mungkin disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang faedah perlindungan komprehensif, persepsi bahawa kejadian sebegini jarang berlaku dan boleh menyebabkan kos tinggi untuk polisi yang lebih meluas," kata Pasha.
Namun begitu, kejadian malang itu telah memperlihatkan kepentingan perlindungan insurans yang mencukupi, bukan sekadar hanya untuk kenderaan, tetapi juga untuk rumah dan perniagaan.
Beliau berkata pemilik rumah di Malaysia perlu menyedari potensi bahaya dan mempertimbangkan perlindungan yang lebih luas atau komprehensif memandangkan insurans kebakaran yang asas mungkin tidak melindungi kerosakan akibat letupan atau bahaya yang berkaitan.
Sehubungan itu, mereka perlu menyemak polisi insurans secara berkala untuk memastikan perlindungan terhadap potensi risiko yang berkaitan dengan lokasi dan keadaan mereka.
Persediaan Kecemasan Penting
Persediaan kecemasan adalah penting, dan pemilik rumah perlu mempunyai pelan lengkap termasuk menetapkan laluan pengosongan dan memastikan akses yang mudah terhadap dokumen penting untuk bertindak efektif ketika kejadian yang tidak dijangka.
Pasha berkata pemilik rumah sewajarnya mempunyai sama ada polisi pemilik rumah (yang melindungi struktur bangunan) atau polisi penyewa rumah (yang melindungi barang-barang di dalam rumah) untuk mendapatkan perlindungan sepenuhnya daripada letupan, kebakaran dan krisis lain.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada polisi pemilik rumah Liberty General Insurance yang meliputi bantuan bencana, impak mengejut dan bencana tidak dijangka, yang dilengkapi dengan faedah tambahan.
Impak mengejut pula merangkumi kerugian atau kerosakan pada bangunan disebabkan pesawat, kenderaan di jalan raya dan haiwan serta letupan gas domestik manakala bahaya tidak dijangka termasuk kerosakan akibat tangki air dan paip pecah atau melimpah, kecurian atau kehilangan hasil sewaan.
Bagi kondominium pula, beliau berkata polisi insurans bangunan induk yang diuruskan oleh perbadanan pengurusan lazimnya meliputi struktur keseluruhan bangunan termasuk dinding luar, bumbung, dan kawasan bersama.
Bagaimanapun, Pasha berkata pada kebiasaannya pemilik unit memerlukan insurans isi rumahnya sendiri untuk melindungi aset seperti perabot dan barangan rumah, peralatan elektrik dan dapur, pakaian, barangan peribadi serta barang kemas, yang turut ditawarkan oleh Liberty General Insurance.
Syarikat itu turut menyediakan perlindungan tambahan terhadap kerosakan pada kunci, kehilangan wang tunai, barang kemas, barangan emas dan perak, cermin pecah, kehilangan hasil sewaan, liabiliti awam dan kecurian.
Pemilik kondominium perlu memahami skop polisi induk serta keperluan insurans mereka sendiri, kata Pasha.
Ditanya mengenai prosedur yang diperlukan dalam menuntut ganti rugi, beliau berkata pemegang polisi harus melaporkan insiden tersebut secepat mungkin kepada polis dan pihak berkuasa berkaitan, memaklumkan kepada syarikat insurans dengan segera, mendokumentasikan kerosakan dengan mengambil gambar dan video yang jelas terhadap harta yang terjejas serta memelihara harta yang rosak bagi tujuan pemeriksaan.
Selain itu, beliau berkata pemegang polisi juga perlu bekerjasama dengan penilai tuntutan insurans, menyimpan rekod perbelanjaan dan memahami terma dan syarat polisi mereka.
Jangan Keterlaluan Buat Tuntutan Insurans
Pasha juga mengingatkan pemegang polisi agar tidak melakukan beberapa tindakan yang boleh menyukarkan proses tuntutan termasuk mengubah bukti, membuat tuntutan yang keterlaluan, menangguhkan laporan, melupus barangan yang rosak sebelum waktunya dan mengakui liabiliti.
Beliau juga berkata pemegang polisi tidak sepatutnya melakukan pembaikan kekal tanpa kebenaran sebelum penilai tuntutan insurans menilai kerosakan dan memberikan kebenaran.
Dalam pada itu beliau berkata tuntutan biasanya berdasarkan kos pembinaan semula atau pembaikan sehingga jumlah yang diinsuranskan.
Jika harta yang rosak tidak dapat dibina semula disebabkan kerosakan yang terlalu teruk dan polisi menyediakan perlindungan berdasarkan nilai penggantian semula, bayaran insurans akan menampung kos membina semula sebuah rumah baharu dengan saiz dan spesifikasi serupa di tapak yang sama, tertakluk kepada terma polisi dan jumlah yang diinsuranskan.
Namun begitu, jika polisi berdasarkan asas pampasan (yang kurang lazim bagi kerugian keseluruhan harta), bayaran insurans akan mengambil kira susut nilai dan nilai pasaran semasa harta tersebut yang mungkin jauh lebih rendah daripada kos untuk membina bangunan baharu.
Sehubungan itu, Pasha berkata amat penting bagi pemilik rumah memastikan jumlah yang diinsuranskan mencukupi untuk menampung keseluruhan kos pembinaan semula sekiranya berlaku kerugian keseluruhan.
Ketika ditanya sama ada bayaran insurans bagi kerosakan mengambil kira kenaikan nilai hartanah, beliau berkata perkara tersebut bergantung kepada terma polisi dan asas penyelesaian tuntutan.
“Secara umumnya, ia berdasarkan nilai penggantian semula, bukan nilai pasaran. Kenaikan nilai hartanah tidak mempengaruhi bayaran tuntutan melainkan pemegang polisi mengemas kini perlindungan mereka dengan sewajarnya.
“Sehubungan itu, penting untuk menyemak jumlah yang diinsuranskan anda secara berkala bagi memastikan ia mencerminkan kos pembinaan semula terkini,” katanya.
-- BERNAMA