Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Peningkatan Pengeluaran
Oleh K Naveen Prabu & Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dan paras stok yang tinggi, kata seorang peniaga.
Menurut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Malaysia menghasilkan 1.77 juta tan metrik minyak sawit mentah (MSM) pada Mei, meningkat 5.1 peratus daripada 1.69 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Manakala stok simpanan MSM menambah 4.8 peratus pada 1.10 juta tan metrik pada Mei berbanding 1.05 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata data MPOB itu mencerminkan tempoh pengeluaran tinggi bermusim bagi Mei, yang terus mempengaruhi sentimen pasaran.
“Kami menjangkakan harga akan disokong sekitar paras RM3,800 setan metrik dan paras rintangan dilihat pada RM3,950 setan metrik,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan kontrak bulan semerta Jun 2025 susut RM44 kepada RM3,876 setan metrik, Julai 2025 turun RM60 kepada RM3,872 setan metrik dan Ogos 2025 berkurangan RM61 kepada RM3,864 setan metrik.
Kontrak September 2025 turun RM53 kepada RM3,861 setan metrik, Oktober 2025 susut RM49 kepada RM3,859 setan metrik dan November 2025 berkurangan RM43 kepada RM3,861 setan metrik.
Jumlah dagangan meningkat kepada 68,659 lot daripada 47,097 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik kepada 247,754 kontrak daripada 225,140 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan menyusut sebanyak RM20 kepada RM3,940 setan metrik.
-- BERNAMA