Alami Keajaiban “Captain Quack Land” di Sunway Lagoon Night Park
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sunway Lagoon memeriahkan suasana malam menerusi tarikan terbaharu, “Captain Quack Land” di Sunway Lagoon Night Park yang menawarkan pengalaman luar biasa dipenuhi sinaran lampu mempesonakan, menghiburkan dan pengembaraan mendebarkan.
Taman Tema Sunway dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengunjung berpeluang menikmati pengalaman yang sungguh menakjubkan hasil gabungan “Captain Quack Land” dan suasana pengembaraan waktu malam.
“Dalam suasana keheningan malam, Sunway Lagoon mempelawa pengunung menerokai dunia kerdipan cahaya, detik mempesona dan menyeronokkan di bawah sinaran bintang-bintang.
"Terokai dunia keajaiban; kilauan cahaya lampu, suasana penuh menghiburkan yang mampu membuatkan jantung anda berdegup kencang. Sama ada anda menikmatinya bersama keluarga, rakan mahupun sendirian, keajaiban dapat dirasai pada setiap detik," menurut kenyataan itu.
Dibuka dari 6 petang hingga 11 malam (ditutup pada Selasa, kecuali semasa cuti sekolah dan cuti umum) Night Park mengubah tarikan pada siang hari kepada persekitaran luar biasa bertema maritim dengan warna-warni dan imaginasi.
Pengunjung yang mempunyai tiket Sunway Lagoon Day Park juga berpeluang masuk ke Night Park, bermula dari 2 petang, menawarkan hingga 13 jam keseronokan tanpa henti melalui tujuh pengalaman unik.
Tiket boleh didapati di laman web Sunway Lagoon dan Sunway Super App, dan pengunjung boleh ikuti Laman Web Sunway Lagoon atau Sunway Lagoon Studios di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan RedNote untuk mendapatkan maklumat terkini.
-- BERNAMA