Pasaran Getah Malaysia Ditutup Bercampur-campur
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah aliran menaik di pasaran niaga hadapan getah serantau dan kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, sentimen pasaran turut mendapat rangsangan daripada keyakinan terhadap kemajuan terkini rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan data ekonomi China yang bertambah baik.
“Niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini apabila para pegawai AS dan China bakal menyambung semula rundingan perdagangan untuk hari kedua di London,” katanya.
Dilaporkan eksport China melonjak 12.4 peratus dan 8.1 peratus pada Mac dan April, manakala import turun 3.4 peratus apabila kilang bergegas membuat penghantaran ke AS dan kepada pengeluar luar negara lain untuk mengelakkan tarif yang dikenakan pentadbiran Presiden AS Donald Trump.
Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh data ekonomi AS yang lebih lemah, katanya.
“Import barang ke AS dari China yang menggunakan laluan laut turun 28.5 peratus pada Mei, penurunan paling tinggi sejak pandemik apabila tarif 145 peratus Trump dilaksanakan.
“Keseluruhannya, import laluan laut AS pada Mei merosot 7.2 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 2.18 juta,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) naik 11.5 sen kepada 706.50 sen sekilogram (kg), manakala susu getah pukal turun 5.0 sen kepada 590.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA