Bursa Malaysia Dibuka Tidak Berubah, Pelabur Tunggu Hasil Ruindingan China-AS
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia tidak berubah ketika dibuka pada Selasa kerana kebanyakan pelabur masih tidak memasuki pasaran ekoran ketidaktentuan pasaran semasa, menjelang hasil rundingan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.
Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.19 mata kepada 1,519.22 daripada 1,519.41.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.30 mata lebih tinggi kepada 1,519.71.
Lingkungan pasaran adalah negatif, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 123 berbanding 109 manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,905 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 105.27 juta unit, bernilai RM53.92 juta.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd FBM KLCI dapat meningkat lebih tinggi semalam walaupun dalam keadaan penjualan asing yang berterusan ekoran perhatian pelabur asing beralih ke pasaran rantau lain.
“Disebabkan oleh dasar tarif yang berubah-ubah oleh Presiden AS, Trump, konsensus telah menurunkan unjuran pendapatan keseluruhan korporat Malaysia, terutamanya bank, menyebabkan minat terhadap ekuiti tempatan menjadi suram.
“Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks berada dalam julat 1,515 hingga 1,525,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, 99 Speed Mart menambah lapan sen kepada RM2.18, Public Bank naik dua sen kepada RM4.80, dan Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM18.28. RHB naik empat sen kepada RM6.40, manakala Maybank menambah satu sen kepada RM9.69.
Antara saham paling aktif, NEXG dan Velesto kekal tidak berubah masing-masing pada 37 sen dan 18.5 sen, manakala Paradigm REIT yang baru disenaraikan di Pasaran Utama tidak berubah pada RM1. SFP Tech juga tidak berubah pada 23 sen, manakala Hartanah Kenyalang menambah satu sen kepada 15.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 3.90 mata kepada 11,389.29, Indeks FBMT 100 jatuh 3.52 mata kepada 11,154.95, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 9.36 mata kepada 11,354.68.
Indeks FBM 70 turun 13.70 mata kepada 16,395.61 manakala Indeks FBM ACE susut 0.47 mata kepada 4,511.66.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.84 mata kepada 17,757.04, namun Indeks Tenaga susut 3.37 mata kepada 717.49. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.47 mata kepada 151.87, manakala Indeks Perladangan naik 5.28 mata kepada 7,254.11.
-- BERNAMA