BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | 

Ekspo Taiwan 2025 Perkenal Lima Produk Inovatif

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Lima produk inovatif dalam segmen kesihatan dan kesejahteraan, kehidupan pintar serta penyelesaian inovatif akan dilancarkan semasa Ekspo Taiwan yang akan diadakan mulai 23 hingga 25 ​​Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Bertemakan "Penyelesaian Inovatif Untuk Kehidupan Yang Lebih Baik," Ekspo Taiwan ini akan menampilkan lebih daripada 40 produk inovatif dari 27 syarikat, yang mempamerkan inovasi dan keupayaan industri Taiwan, bertujuan untuk meneroka peluang perniagaan dengan bakal rakan kongsi mereka di Malaysia.

Penganjur ekspo, Taiwan Excellence melalui satu kenyataan berkata ia akan menjadi hos pelancaran produk pada 23 Jun, yang menampilkan kapsul detoks penembusan tinggi HydrolLight dari Jian Ling Technology Co dan alat sokongan pergerakan mekanikal GHG dari Goang Hann Enterprise Co Ltd untuk orang tua termasuk mereka yang mempunyai mobiliti terhad.

 

Ia juga akan memperkenalkan alat pemadam api ringan dan mudah alih Easy Jet Micro yang dibangunkan oleh Hepty International Technology Co Ltd termasuk sistem pengurusan karbon dari Systex Corporation dan cecair pemotongan logam berasaskan tumbuhan dari Mecom Industries Corp.

Peserta pameran juga akan membentangkan pelbagai produk dan penyelesaian yang inovatif yang memanfaatkan kekuatan kecerdasan buatan serta internet pelbagai perkara (IoT) bagi menyediakan kaedah baharu dalam meningkatkan kualiti hidup.

Sementara itu, maskot Duta Kecemerlangan Taiwan, Fubear akan mengambil bahagian dalam acara "Give Me Five, a Better Life" pada 25 Jun ini.

"Fubear akan cuba membuat rekod baharu Malaysia Book of Records dalam kategori High Fives paling banyak yang dibuat oleh maskot dalam satu minit bertujuan bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu sosial dan menyebarkan kebaikan," katanya. 

 Acara ini dianjurkan dengan kerjasama First City University College dan disokong oleh Pusat Latihan Autisme Segamat REACH serta Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia.

Taiwan Excellence juga telah mengumumkan bahawa acara pemadanan perniagaan satu ke satu, yang diadakan bersempena dengan ekspo tersebut, kini dibuka untuk pendaftaran. 

 Untuk maklumat lanjut dan peluang urus niaga, lawati halaman https://www.facebook.com/TaiwanExcellence.MY/, atau hubungi sekretariat projek pada 03-8023 7798.

-- BERNAMA