Pakar Cukai: Semakan SST Bersasar Sokong Kesihatan Fiskal Negara
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan merupakan sebahagian daripada langkah fiskal bersasar untuk memastikan kewangan negara kekal berada pada landasan yang mampan, kata pakar percukaian.
Ketua Cukai PwC Malaysia Steve Chia berkata semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan sesuatu yang dijangka setelah diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada Oktober lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya melihat perubahan berkenaan dalam konteks fiskal yang lebih luas.
“Meskipun ia bertujuan menyokong matlamat fiskal jangka sederhana, pencarian dalam usaha penyelesaian jangka panjang masih diperlukan bagi memastikan sumbangan hasil yang mampan untuk negara.
“Walaupun peluasan semasa agak meluas, kerajaan komited untuk mengehadkan skop kepada barangan terpilih dan tidak penting serta perkhidmatan perniagaan ke perniagaan (B2B) bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan mulai 1 Julai, 2025, bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dan menambah baik sokongan terhadap kesejahteraan rakyat.
Chia berkata cabaran utama adalah untuk memastikan kos berlapis dapat dihapuskan atau tidak dipindahkan di sepanjang rantaian nilai.
“Sejak pengumuman Belanjawan 2025 sehingga kini, kerajaan telah berusaha untuk berunding dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk persatuan industri dan profesional cukai bagi memastikan semakan itu dimaklumkan dengan baik dan mengambil kira kesan serta isu yang timbul dalam industri.
“Sehubungan itu, perubahan ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan fiskal Malaysia dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas cukai.
“Kita dapat lihat bahawa kerajaan berhati-hati dalam mengenal pasti bidang untuk kenaikan kadar dan peluasan skop bagi melindungi serta mengurangkan kesan terhadap rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cukai KPMG Malaysia Soh Lian Seng berkata rangka kerja SST semasa sering dianggap kurang komprehensif berbanding sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini dan kadangkala dikritik kerana bersifat regresif.
“Semakan ini kelihatan sebagai usaha untuk menjadikan struktur cukai lebih progresif, meluaskan asas cukai sambil memastikan beban tidak jatuh secara tidak seimbang ke atas rakyat.
“Memperluas skop perkhidmatan bercukai dan semakan kadar boleh membantu menambah baik kutipan hasil, yang mana ia penting untuk pengukuhan fiskal Malaysia dalam jangka sederhana,” katanya.
Soh menegaskan bahawa kerajaan seolah-olah menyasarkan untuk meningkatkan keadilan dan kecekapan dalam kutipan cukai dengan memperbaiki skop dan struktur SST susulan pengumuman semakan berkenaan.
Pada masa yang sama, beliau berkata mungkin akan berlaku lonjakan perbelanjaan pengguna dalam jangka pendek apabila orang ramai bergegas membuat pembelian sebelum kadar baharu berkuat kuasa, sama seperti yang berlaku pada 2015 menjelang pelaksanaan GST.
“Bagaimanapun, keadaan ini dijangka kembali normal dalam beberapa bulan akan datang. Berkenaan kebimbangan terhadap inflasi, kesannya dijangka sederhana sahaja.
“Walaupun terdapat pengecualian dan pelepasan cukai untuk mengurangkan kesan itu, kesan bersih sepatutnya menyumbang secara positif kepada tabung kerajaan, sekali gus menyokong kemampanan fiskal yang lebih luas,” tambahnya.
-- BERNAMA