Agensi Malaysia, Firma Jepun Meterai Lima MoU Kemampanan Sektor Komoditi Di Ekspo 2025 Osaka
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Agensi Malaysia memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Jepun sempena Minggu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka untuk memajukan kemampanan, inovasi dan akses pasaran meliputi sektor komoditi utama.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selaku agensi peneraju bagi penyertaan Malaysia dalam ekspo itu berkata, pemeteraian MoU berkenaan menandakan kerjasama dua hala yang semakin meningkat dan berkongsi matlamat untuk pembangunan mampan.
Menurut MITI dalam kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) KPK Datuk Abdul Hadi Omar dalam ucapan alu-aluan sempena Minggu KPK dilaporkan berkata, MoU berkenaan mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam komoditi yang mampan dan bernilai tambah.
Abdul Hadi dalam ucapannya berkata MoU berkenaan juga membuka peluang kepada kerjasama rentas sempadan yang inovatif dengan komuniti perniagaan Jepun yang berpandangan ke hadapan.
Menurut kenyataan itu, fokus utama majlis pemeteraian hari ini adalah MoU antara Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Global Alliance for Sustainable Supply Chain (ASSC) yang berpangkalan di Jepun untuk meningkatkan kesedaran mengenai pensijilan MSPO dan amalan minyak sawit mampan dalam kalangan syarikat Jepun.
“Ini termasuk mempromosikan rantaian bekalan bebas penyahhutanan dan mendukung piawaian hak asasi manusia.
“ASSC akan menyokong MSPO dalam kalangan rangkaian korporat meluasnya di Jepun, menawarkan akses MSPO kepada ahli seperti Ajinomoto, Nissin Foods, AEON, Shiseido, Meiji Holdings dan KAO yang mengukuhkan lagi hubungan pasaran,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Panasonic Housing Solutions Co Ltd memeterai perjanjian untuk bersama-sama menjalankan penyelidikan dan perundingan mengenai pembangunan papan penebatan yang diperbuat daripada biojisim sawit, khususnya gentian tandan buah kosong.
MITI berkata projek berkenaan bertujuan untuk mengubah sisa pertanian kepada bahan binaan yang bernilai dan mesra alam sekali gus menyumbang kepada objektif ekonomi kitaran dalam sektor minyak sawit Malaysia.
Selain itu, katanya MPOB memeterai perjanjian kerjasama dengan Asano Gear Factory Co Ltd Jepun untuk memajukan teknologi mekanisasi bagi industri minyak sawit Malaysia.
“Kerjasama itu dijangka menjana nilai potensi minimum sebanyak RM5 juta setahun melalui jumlah jualan teknologi dan alat ganti yang dianggarkan serta pelaburan langsung ke Malaysia,” katanya.
Minggu KPK yang bermula 9 Jun hingga 14 Jun 2025 akan mengetengahkan beberapa siri forum perniagaan, sesi rangkaian perniagaan kepada perniagaan, pameran produk dan libat urus budaya untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam sektor komoditi utama.
-- BERNAMA