Asia Vision Capital-JYSigma Bekerjasama Tingkat Perniagaan Dana Hartanah Ekuiti Serantau
JOHOR BAHRU, 9 Jun (Bernama) -- Syarikat modal teroka, Asia Vision Capital Sdn Bhd (AVC) telah menjalinkan perkongsian dengan JYSigma Business Consultancy (JBC) untuk meningkatkan penglibatan pelabur dalam dana hartanah ekuiti swasta di rantau ini.
Perkongsian ini bertujuan untuk meluaskan jangkauan pelabur AVC di seluruh Asia Tenggara selain meningkatkan akses kepada pembangunan Quayside JBCC di Johor Bahru, yang terletak berhampiran dengan koridor Johor-Singapura.
Ketua Pegawai Pelaburan AVC, Ian Khor melalui satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyampaikan pelaburan hartanah yang berkualiti tinggi di Malaysia.
JBC, yang mempunyai kehadiran yang kukuh di Singapura, Hong Kong, Thailand, Dubai dan Malaysia, akan menyokong AVC dengan menyediakan tinjauan ke atas pasaran tempatan, sokongan jangkauan termasuk keupayaan pelaksanaan di seluruh pasaran serantau yang utama.
Perkongsian ini akan meningkatkan akses pelabur kepada dua dana terkawal AVC iaitu dana konvensionalnya, QJBCCA PLT serta dana patuh syariah QJBCCI PLT. Kedua-dua dana tersebut menawarkan pendedahan pelabur yang diiktiraf kepada pembangunan JBCC di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Quayside JBCC Development mempunyai ciri-ciri kediaman yang diservis, kedai runcit, restoran atas bumbung dan sebuah hotel yang diuruskan oleh jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ia menjana pendapatan dari perhotelan, runcit, makanan, tempat letak kereta dan pengiklanan.
Pembangunan ini telah mendapat penghargaan seperti reka bentuk pembangunan terbaik (Malaysia) di Anugerah PropertyGuru Asia 2024, pengiktirafan Opal 2023, Anugerah Hartanah Asia Pasifik, Anugerah Pemaju ASEAN, StarProperty dan Anugerah KSI.
Pembangunan JBCC Quayside dijadualkan beroperasi menjelang 2027/2028, dengan potensi penyenaraian pelaburan hartanah (REIT) dirancang menjelang 2032.
Untuk memperdalamkan penglibatannya, JBC telah menubuhkan sebuah pejabat khusus di Johor Bahru, menggariskan komitmennya kepada perkongsian itu.
Pengarah JBC Jack Yang berkata kerjasama itu menandakan satu langkah penting ke dalam pelaburan hartanah yang berimpak tinggi, patuh syariah, sektor yang dilihatnya sebagai kritikal bagi pasaran modal Asia Tenggara.
"Kami melihat kawasan ini semakin penting untuk penggunaan modal di Asia Tenggara," katanya.
AVC kini menyasarkan komitmen dana sehingga RM300 juta melalui fasa pengumpulan dana yang berterusan.
Katanya, syarikat itu tetap memberi tumpuan kepada penyampaian pelaburan jangka panjang, penjanaan pendapatan yang sejajar dengan prinsip-prinsip yang patuh konvensional dan syariah, menyediakan pelabur dengan akses kepada salah satu koridor hartanah yang paling mantap di Asia Tenggara.
-- BERNAMA