Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata, harga minyak kacang soya yang lebih rendah di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) waktu dagangan Asia turut mempengaruhi sentimen pasaran.
"Peningkatan pengeluaran adalah bermusim. Kami mengesan paras sokongan pada RM3,800 setan dan paras rintangan pada RM4,000 satu tan," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta Jun 2025 dan Julai 2025 merosot RM42 masing-masing kepada RM3,904 satu tan and RM3,923 setan.
Ogos 2025 jatuh RM45 kepada RM3,903 satu tan, September 2025 dan Oktober 2025 merosot RM47 masing-masing kepada RM3,890 satu tan and RM3,886 setan, manakala November 2025 jatuh RM40 kepada RM3,891 satu tan.
Jumlah dagangan naik kepada 64,761 lot daripada 59,422 lot semalam manakala kepentingan terbuka melonjak 245,562 kontrak daripada 245,345 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan merosot RM50 kepada RM3,950 satu tan.
-- BERNAMA