BERITA TERKINI   MPI: Wartawan Bernama TV Shahrul Aini, Wan Syahrina menang Perak bagi kategori Bicarawara Video Terbaik | Bernama rangkul Perak bagi katergori Kewartawanan ESG terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas | Jurugambar Bernama Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak menang perak kategori Kewartawanan Foto Terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas. | Jurugambar Bernama Mohd Safwan Mansor menang emas untuk kategori foto esei terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas | MPI: Wartawan Harian Metro menang Hadiah Kajai | 

Snowflake Mampu Berperanan Penting dalam DEFA ASEAN

Daripada Nor Baizura Basri

SAN FRANCISCO, 4 Jun (Bernama) -- Syarikat pengkomputeran awan, Snowflake yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) berkata ia boleh memainkan peranan penting dalam Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) kerana negara anggota blok itu menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Snowflake ASEAN Satchit Joglekar berkata sebagai sebuah syarikat, Snowflake sentiasa menumpukan pada membina ekosistem terutamanya dengan hubungan yang wujud dalam awan data kecerdasan buatan (AI) memastikan syarikat di seluruh ASEAN bukan hanya dalam satu negara seperti Singapura atau Indonesia, mempunyai ekosistem yang terhubung tetapi juga meluas daripada rantaian bekalan mereka kepada cara mereka melayani pelanggan mereka.

"Ekosistem ini boleh merentasi pelbagai negara ASEAN, merangkumi kedua-dua pelanggan dan pembekal. Misi teras kami adalah untuk membolehkan kesalinghubungan ini berjalan dengan selamat dan mengikut cara yang dikawal.

“Ini membolehkan data dimanfaatkan melalui awan data kami yang terhubung dan selamat untuk menghasilkan nilai dalam ekosistem itu, sama ada melalui hubungan perkongsian data atau dengan membina dan mengedarkan aplikasi di pasaran kami.

“Pendekatan ini sejajar dengan visi syarikat untuk membina ekosistem berkaitan yang tidak khusus untuk setiap negara atau konglomerat tertentu tetapi meluaskannya ke seluruh ekosistem digital di ASEAN,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Snowflake 2025 yang diadakan di Moscone Centre di sini.

Satchit berkata Snowflake juga boleh memainkan peranan penting sebagai pemboleh daya dalam komuniti.

Kekuatan utama ASEAN adalah peningkatan jumlah golongan muda daripada institusi pendidikan, beliau berkata syarikat itu juga sedang giat meneruskan perkongsian dengan institusi pengajian tinggi dengan pelbagai negara di mana ia melabur dan mempunyai kehadiran.

Beliau berkata dengan memperkenalkan konsep seperti Awan Data AI, ekosistem kesalinghubungan dan data sebagai contoh, pada peringkat terawal membolehkan pelajar memanfaatkannya dalam kerjaya mereka pada masa sama, secara konsisten mengadakan libat urus dengan komuniti jurutera data, saintis data dan profesional data dalam memastikan mereka mengikuti perkembangan terkini dalam ekosistem tersebut.

Satchit berkata i boleh membawa komuniti dalam ekosistem data untuk menjana nilai bagi syarikat mereka, negara dan masa depan ekonomi digital ASEAN.

"DEFA terus menjadi langkah penting bagi kumpulan itu, bukan sahaja dalam mengamalkan ekonomi digital tetapi membantu menentukan masa depannya. Dengan rundingan dijangka berakhir menjelang 2025, perniagaan harus bertindak sekarang. Mereka yang membuat persediaan awal akan berada pada kedudukan terbaik untuk memimpin (mendahului)," katanya.

DEFA menyasarkan untuk menyediakan pelan hala tuju komprehensif untuk memperkasakan perniagaan dan pihak berkepentingan di seluruh ASEAN, ia dijangka mencipta sejarahnya sendiri dengan menjadi ekonomi digital seluruh rantau pertama di dunia dan perjanjian yang dimeterai secara sah.

Perjanjian itu dijangka memberi tumpuan kepada bidang utama seperti e-dagang rentas sempadan, keselamatan siber, perdagangan digital, ID digital dan pembayaran digital serta bidang baharu muncul seperti AI.

Menurut Boston Consulting Group, ekonomi digital ASEAN diunjurkan meningkat tiga kali ganda menjelang akhir dekad menerusi penggunaan semula jadi teknologi digital, berkembang kepada hampir US$1 trilion (US$1 = RM4.24) menjelang 2030 daripada kira-kira US$300 bilion setakat ini dan dengan DEFA, ia boleh menggandakan sumbangan nilai, menjana ekonomi digital kira-kira US$2 trilion kepada ASEAN.

-- BERNAMA