BERITA TERKINI   Sabah terima peruntukan pembangunan luar bandar tertinggi dalam Belanjawan 2026, bukti komitmen Kerajaan Persekutuan - Ahmad Zahid | Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Dagangan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka kekal dalam aliran menurun minggu depan memandangkan perniagaan masih berhati-hati dengan prospek pasaran global, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Persatuan itu berkata harga dijangka terjejas oleh kekurangan bekalan disebabkan keadaan cuaca, kekukuhan ringgit, pergerakan harga minyak mentah dan ketidakpastian berhubung perdagangan Amerika Syarikat-China serta dasar ekonomi China.

"Ini dijangka menyebabkan pasaran getah menjadi tidak menentu pada minggu akan datang," kata MARGMA kepada Bernama.

Pakar industri Denis Low juga berpandangan yang sama dengan menyatakan bahawa gangguan bekalan akibat cuaca tidak menentu boleh menambahkan lagi ketidaktentuan pasaran.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah terjejas oleh penurunan di pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang lebih rendah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.

Pada asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun sebanyak 42 sen kepada 698.5 sen sekilogram (kg), manakala susu getah pukal susut sebanyak 6.5 sen kepada 620.5 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 2 Jun 2025 (Isnin) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan operasi akan disambung semula pada Selasa.

-- BERNAMA