BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

IHW 2025 Jangka Tarik 900 Pempamer, Melangkaui Sasaran MATRADE

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Minggu Kesihatan Antarabangsa (IWH) 2025 yang akan datang dijangka akan mencipta rekod baharu dengan lebih daripada 900 peserta pameran tempatan, serantau dan antarabangsa, melangkaui sasaran awal 750 yang ditetapkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). 

 IHW akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia mulai 16 hingga 18 Julai ini.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan bahawa acara itu juga dijangka menarik lebih daripada 21,000 pelawat dari 26 negara, ia akan menampilkan pelbagai produk penjagaan kesihatan, dari bahan-bahan farmaseutikal sehingga ke instrumen makmal klinikal.

"Ianya akan menjadi pameran perdagangan penjagaan kesihatan terbesar di Asia Tenggara," katanya dalam ucapan pelancaran rasmi IHW 2025 di sini hari ini.

Semasa sidang akhbar, Pengarah Portfolio Serantau ASEAN Informa Markets, Rungphech Chitanuwat berkata lonjakan dalam penyertaan peserta pameran kali ini mencerminkan kepentingan antarabangsa yang semakin meningkat dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia terutamanya farmaseutikal.

"Kerajaan sentiasa memudahkan akses pasaran selain mewujudkan peluang untuk peniaga antarabangsa dengan menilai dan meluluskan ubat-ubatan dari luar negara.

"Ini telah menarik perhatian pemain antarabangsa di sektor farmaseutikal. Apabila bercakap mengenai peralatan perubatan dan peralatan makmal, rakyat Malaysia boleh berbangga kerana negara ini muncul sebagai pemimpin dalam pelancongan perubatan dan perkhidmatan hospital," katanya.

Chitanuwat menjelaskan pertumbuhan perkhidmatan hospital mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk peranti serta peralatan perubatan, yang kemudiannya, merangsang sektor penjagaan kesihatan secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Eksekutif Eksekutif Percepatan Eksport MATRADE Abu Bakar Yusof berkata impak ekonomi daripada pameran itu akan berkisar dalam segmen perniagaan ke perniagaan (B2B). 

"Kesan limpahan ini melangkaui bukan setakat interaksi B2B. Pelawat akan datang dan berbelanja, mereka akan menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui penginapan, pengangkutan dan sektor lain.

"Dari perspektif MATRADE, kami memberi fokus penuh ke atas B2B. Kami mahu melihat pertumbuhan dalam industri penjagaan kesihatan, terutamanya di kalangan pemain industri Malaysia. Mereka perlu berkembang dan tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada keupayaan semasa," katanya.

IHW 2025 dianjurkan oleh Informa Markets, dengan MATRADE sebagai rakan strategiknya. Ia menyatukan lima pameran perdagangan antarabangsa di bawah satu bumbung, yang meliputi rantaian nilai penjagaan kesihatan yang lengkap.

 

Pameran-pameran itu ialah CPHI Asia Tenggara, WHX Kuala Lumpur, WHX Labs Kuala Lumpur, Medtec Asia Tenggara dan Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Kesihatan, turut disediakan dengan persidangan yang berdedikasi. 

Persidangan ini disesuaikan dengan keperluan serta perkembangan khusus industri masing-masing. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan peluang dalam pembelajaran, kerjasama, pelaburan selain mempamerkan inovasi di pelbagai sektor penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA