BERITA TERKINI   Sabah terima peruntukan pembangunan luar bandar tertinggi dalam Belanjawan 2026, bukti komitmen Kerajaan Persekutuan - Ahmad Zahid | Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | 

Malaysia Giat Pacu Kemajuan COC Laut China Selatan, Konsensus Lima Perkara Myanmar

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia giat memacu kemajuan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan dan mendukung Konsensus Lima Perkara (5PC) Myanmar, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia juga memberi tumpuan untuk memperkukuh hubungan dengan rakan strategik dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan selain darinya.

“Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China baru-baru ini juga meletakkan rantau kita sebagai jambatan antara Asia, Timur Tengah dan seterusnya.

“Perkongsian tiga hala ini menawarkan peluang untuk menggabungkan kapasiti teknologi dan infrastruktur China, tenaga dan modal GCC dengan pasaran dan industri yang dinamik di ASEAN untuk menjadi enjin baharu bagi mencapai pertumbuhan dan daya tahan,” katanya menerusi ucapan beliau pada Forum Perniagaan ASEAN 2025, di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

Tengku Zafrul berkata Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang baru ditubuhkan, dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan Indonesia, kini beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, mandat pasukan petugas itu adalah untuk menyediakan analisis ekonomi masa nyata, pemodelan senario dan cadangan dasar yang diselaraskan untuk membantu ASEAN mengunjur dan mengurangkan risiko ekonomi dan, jika sesuai, mengubahnya menjadi peluang.

“Selain itu, menteri-menteri kita (ASEAN)  juga mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). 

“Kenyataan bersama kita menggariskan pendekatan matang dan berpandangan ke hadapan kerana ASEAN akan bertindak balas kepada kejutan luar bukan dengan tindakan balas, tetapi dengan rundingan, dialog terbuka dan penyelesaian kolektif,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kuasa terbesar sebenar ASEAN adalah perpaduan, daya tahan, dan pragmatisme rantau ini.

“Ketika dunia mengalami perubahan yang besar, perpaduan dan pemusatan ASEAN menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

“Daripada Krisis Kewangan Asia hinggalah kepada pandemik pada ke hari ini, ASEAN telah menunjukkan kepada dunia bahawa tindakan kolektif, kepercayaan dan tujuan bersama adalah asas kejayaan kita,” katanya.

-- BERNAMA