SAMENTA Gesa Kekal Dasar, Komited Perubahan Ekonomi Menjelang RMK-13 Dimuktamadkan
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan untuk mengekalkan kesinambungan dasar dan komited terhadap pembaharuan ekonomi jangka panjang ketika Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) semakin hampir dimuktamadkan.
Dalam satu kenyataan hari ini, SAMENTA berkata gesaan itu dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi.
Persatuan itu mengingatkan bahawa Malaysia berisiko kehilangan satu lagi kitaran ekonomi sekiranya reformasi yang digariskan dalam draf RMK-13 tidak dilindungi dan dilaksanakan sepenuhnya.
Presidennya, Datuk William Ng berkata RMK-13 mesti dilihat sebagai pelan induk negara yang lahir daripada rundingan menyeluruh dan keperluan yang mendesak.
“Malaysia telah ketinggalan berbanding rakan-rakan Asia kita kerana kegagalan kita bertindak secara berani di dalam reformasi pendidikan, produktiviti dan daya saing perusahaan.
“Kami faham bahawa rancangan itu bertujuan mengubah hala tuju ekonomi ke arah produktiviti, pelaburan sektor swasta dan perubahan tingkah laku.
“Namun, kita juga mesti bersetuju bahawa tiada rancangan akan berjaya sekiranya kita tidak menangani isu asas yang terus menghalang kemajuan Malaysia,” katanya.
Persatuan itu turut menekankan mengenai keperluan supaya kepimpinan baharu di Kementerian Ekonomi mengekalkan teras strategik utama RMK-13, termasuk penekanan terhadap pengurutan dasar, insentif berasaskan tingkah laku dan pembangunan berasaskan lokasi.
Katanya, kerajaan juga mesti memastikan kesiapsiagaan pelaksanaan dengan menyelaraskan kementerian, agensi dan keutamaan bajet berdasarkan hasil, bukan sekadar aktiviti.
“RMK-13 mungkin merupakan peluang terakhir kita untuk benar-benar menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, yang dipacu oleh inovasi.
“Kita tidak mampu lagi mengulangi semua cabaran yang sama setiap lima tahun,” katanya.
-- BERNAMA