Genting Plantations Catat Keuntungan Bersih Sebanyak RM61.25 Juta
KUALA LUMPUR, `28 Mei (Bernama) -- Genting Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM61.25 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berbanding dengan RM42.83 juta yang direkodkan semasa tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan turut menyaksikan lonjakan sebanyak 19 peratus kepada RM719.45 juta daripada RM605.83 juta, ini dikaitkan dengan lonjakan harga produk sawit selain peningkatan jumlah jualan dalam segmen pembuatan hiliran.
Genting Plantations melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pengeluaran tandan buah segar (FFB) pada suku pertama 2025 menyaksikan penurunan dari tahun ke tahun disebabkan oleh hujan yang luar biasa dan banjir di beberapa ladangnya di Malaysia.
"Ini sebahagiannya telah diimbangi oleh output yang lebih kukuh daripada estet kumpulan di Indonesia serta sokongan profil usia yang agak baik," katanya.
Genting Plantations turut melaporkan harga minyak sawit mentah serta kernel sawit yang lebih mantap, masing-masing pada RM4,162 satu tan dan RM3,311 satu tan.
"Sebagai cerminan kepada pengukuhan harga produk kelapa sawit ini, hasil suku pertama 2025 sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk segmen perladangan telah menokok dari tahun ke tahun di atas peningkatan jumlah jualan pada suku tersebut," katanya.
Sementara itu, Genting Plantations berkata prospek kumpulan untuk baki tahun ini akan menjejaki prestasi segmen ladang utama, yang seterusnya, bergantung kepada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran FFB.
Harga minyak sawit telah melemah berikutan pemulihan bermusim dalam pengeluaran dan jangkaan penambahan dalam stok minyak sawit.
"Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan harga akan stabil dalam jangka masa terdekat, disokong oleh pembelian dari negara-negara pengimport utama berikutan pembetulan harga minyak sawit baru-baru ini.
"Bagaimanapun, peningkatan ketegangan perdagangan dan penyusutan dalam harga minyak mentah boleh memacu turun naik harga," katanya lagi.
-- BERNAMA