BERITA TERKINI   Malaysia tetapkan sasaran capai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean raih pingat emas 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:50.63s | Thailand akan adakan pilihan raya umum pada 8 Feb - Suruhanjaya Pilihan Raya | Sukan SEA 2025: Kuartet 4x100 meter lelaki negara rangkul perak, pecah rekod kebangsaan dengan catatan baharu 39.03 saat | 

AmBank Lulus Pembiayaan RM70 Juta Untuk Projek Solar Sunview Di Kedah

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kumpulan AmBank melalui AmBank Islamic Bhd meluluskan pembiayaan sebanyak RM70 juta kepada anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd, Fabulous Sunview Sdn Bhd (FSSB).

Pembiayaan itu sebahagiannya bagi membiayai pembinaan loji tenaga solar fotovoltaik yang dipasang atas tanah berkapasiti 29.99 MegaWatt di Kedah.

Projek yang terletak di Sungai Petani ini diberikan oleh Dayasinar Energy Sdn Bhd di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), satu inisiatif yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia bagi mempercepatkan penyertaan korporat dalam tenaga boleh baharu.

Projek berkenaan dengan kontrak bernilai RM98.29 juta akan dilaksanakan FSSB merangkumi reka bentuk, perolehan, pemasangan, penyambungan, pengoperasian dan ujian serta pembekalan peralatan untuk pembinaan fasiliti penjanaan solar fotovoltaik (PV) yang dipasang atas tanah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan AmBank bagi Perbankan Perniagaan Christopher Yap berkata kumpulan itu kekal komited untuk memperkukuh sumbangannya kepada ekosistem tenaga boleh baharu Malaysia dengan meneroka peluang pembiayaan berpotensi dalam program kerajaan yang akan datang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunview Group HP Ong berkata kemudahan pembiayaan yang disediakan memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan projek solar mereka di bawah skim CGPP.

“Dengan sokongan ini, kami dapat terus menyumbang kepada peralihan tenaga Malaysia serta menyokong masa depan yang lebih hijau dan lestari,” katanya.

-- BERNAMA