ASEAN, GCC, China Lahir Hasrat Bekerjasama Dengan Malaysia Dalam Industri Halal
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Beberapa negara anggota ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam industri halal, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata hasrat itu disuarakan susulan Malaysia sering dilihat sebagai peneraju dalam industri halal dan mereka juga mahu negara berkongsi pengalaman serta isu-isu teknikal berkaitan industri tersebut.
“Industri halal ini bukan sahaja dari segi makanan dan minuman tetapi juga dari segi logistik, farmaseutikal dan sebagainya. Ia juga merentasi bukan sahaja negara-negara Islam dan menjadi satu idea yang mana industri halal ini dapat meningkatkan juga pendapatan rakyat, pendapatan negara masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka Malaysia perlu meningkatkan penglibatan dalam blok baharu dalam usaha untuk mendepani cabaran geopolitik dan ekonomi global.
“Kita telah mengumumkan contohnya hari Isnin lepas Malaysia dan GCC akan mulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), pada masa yang sama kita juga berbincang mengenai bidang-bidang sektor baharu dengan China.
“ASEAN pun kita telah memuktamadkan perbincangan FTA ASEAN-China dalam beberapa bidang baharu, ada chapter (bahagian) baharu dalam FTA yang kita perkenalkan dari segi ekonomi hijau, rantaian bekalan, ekonomi digital dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul juga menyambut baik kenyataan bersama ASEAN, GCC dan China yang menyatakan komitmen untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan selain perbincangan mendalam antara para pemimpin mengenai pelbagai sektor termasuk ekonomi hijau, ekonomi digital dan industri halal.
“Banyak yang dibangkitkan mengenai bagaimana kita nak membangunkan juga industri halal antara ASEAN dan GCC selain daripada ekonomi digital ekonomi hijau dan sebagainya,” katanya.
— BERNAMA