Sukuk Jangka Pendek IILM Catat Rekod Tertinggi US$5.7 Bilion Dengan Aset GCC US$500 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Portfolio sukuk jangka pendek tertunggak Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) telah mencapai rekod tertinggi baharu sebanyak US$5.7 bilion (US$1 = RM4.23) berikutan kejayaan penambahan aset  bernilai US$500 juta, aset penarafan tertinggi oleh entiti berdaulat dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Ia berkata perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan IILM untuk menyediakan instrumen pengurusan mudah tunai patuh Shariah berkualiti tinggi untuk pasaran kewangan Islam global.

"Peningkatan dalam aset asas meningkatkan kapasiti organisasi untuk menerbitkan sukuk jangka pendek bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada asas luas pelabur global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata pencapaian itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti terbitan syarikat tetapi juga meningkatkan kepelbagaian kumpulan asetnya di seluruh wilayah GCC.

Beliau berkata ia juga merupakan langkah strategik dalam mengembangkan jejak geografinya serta mengukuhkan kualiti kredit dan daya tahan program Sukuk IILM.

"Mencapai rekod tertinggi sebanyak US$5.7 bilion dalam Sukuk jangka pendek tertunggak adalah bukti kekukuhan model perniagaan kami yang unik dan kepercayaan berterusan diberikan kepada IILM oleh pelabur kami dan rangkaian pemberi obligasi aset yang dinilai tinggi.

“Pencapaian ini menekankan permintaan yang semakin meningkat untuk instrumen mudah tunai boleh dipercayai dan patuh Shariah dan menonjolkan peranan penting IILM dalam ekosistem kewangan,” katanya.

Mohamad Safri berkata IILM berbesar hati untuk bekerjasama dengan rangkaian institusi yang dihormati di peringkat global yang semakin berkembang, ia akan terus menyokong pembangunan alat pengurusan mudah tunai yang teguh dan patuh Shariah untuk pasaran kewangan Islam.

"Perkembangan terbaharu ini mengesahkan komitmen IILM untuk menyampaikan penyelesaian yang telus, konsisten, berwibawa dan mudah tunai kepada institusi kewangan Islam di seluruh dunia," katanya.

Dengan kemasukan aset baharu itu hari ini, IILM berjaya memuktamadkan penerbitan semula dan pengeluaran agregat US$1.28 bilion merentasi tiga tenor berbeza masing-masing bagi kematangan satu, tiga dan enam bulan.

Ini menandakan lelongan kesembilan IILM tahun ini dan kedua untuk bulan Mei.

Setakat ini, terbitan kumulatif telah mencecah US$9.49 bilion merentas 27 siri sukuk dengan tenor yang berbeza.

-- BERNAMA