TM Dijangka Peruntuk Capex RM430 Juta Bagi Prasarana "Backhaul" Rangkaian 5G Kedua - CIMB

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM430 juta sepanjang tahun kewangan 2026–2027, mewakili 18 peratus daripada perolehan kontrak selama 10 tahun bagi melancarkan perkhidmatan “backhaul” gentian rangkaian 5G kedua, kata CIMB Securities Sdn Bhd.

U Mobile Sdn Bhd semalam dilaporkan melantik TM sebagai rakan utama “backhaul” atau penyediaan jaringan sambungan gentian untuk mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G ke seluruh negara.

Di bawah perjanjian kerjasama selama 10 tahun bernilai RM2.4 bilion, TM akan menyediakan perkhidmatan prasarana “backhaul” komprehensif termasuk akses fiber kepada Rangkaian Akses Radio 5G U Mobile, penyewaan pusat data dan Kemudahan TM Edge untuk Titik Penyambungan.

CIMB Securities berkata, kontrak itu menjangkakan TM menjana perolehan purata RM240 juta setahun selepas kesalinghubungan gentian disediakan sepenuhnya.

Bagaimanapun TM diunjurkan menjana perolehan RM100 juta pada tahun kewangan 2026.

"Ini kerana U Mobile mungkin bercadang memulakan pajakan “backhaul” lebih dekat dengan pelancaran komersial perkhidmatan 5G pada separuh kedua 2026 untuk meminimumkan perbelanjaan dan berikutan telah melaksanakan prabayar RM233 juta bagi pajakan borong 5G daripada Digital Nasional Bhd.

“Selepas itu, kami mengunjurkan pendapatan TM daripada kontrak berkenaan meningkat kepada RM230 juta pada tahun kewangan 2027 dan kepada RM240 juta setahun mulai tahun kewangan 2028,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata pengumuman kontrak berkenaan bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan TM secara terbuka menyatakan keinginan untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi infrastruktur bagi penggunaan rangkaian 5G kedua U Mobile.

Bank pelaburan itu positif mengenai kontrak itu berikutan ia dijangka mengukuhkan perolehan borong berulang jangka panjang TM melalui segmen pembekal kepada pembekal.

-- BERNAMA