Bursa Malaysia Tegur Secara Terbuka Jerasia, Denda Pengarah RM50,000
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Jerasia Capital Bhd (dalam pembubaran) dan mengenakan denda berjumlah RM50,000 terhadap tiga pengarahnya kerana gagal membuat pengumuman segera mengenai perintah pembubaran itu.
Bursa Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini berkata Jerasia melanggar Syarat-Syarat Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia dan gagal membuat pengumuman segera mengenai perintah pembubaran bertarikh 29 Mac 2023 yang diperoleh AmBank (M) Bhd.
“JERASIA hanya mengumumkan perintah pembubaran pada 12 April 2023, selepas penangguhan 10 hari pasaran dan mengumumkan maklumat lanjut mengenai perintah pembubaran seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia pada 13 April 2023.
“Walaupun Jerasia telah dinyahsenarai pada 24 Ogos 2023, pelanggaran itu dilakukan semasa syarikat tersebut tersenarai dalam senarai rasmi Bursa Malaysia,” katanya.
Sementara itu denda dikenakan terhadap pengarah urusan kumpulannya Pronob Kumar Sen Gupta (RM25,000); pengarah bukan bebas bukan eksekutif Datuk Dr Yong Yuan Tan (RM12,500); dan pengerusi jawatankuasa audit pengarah bukan eksekutif bebas Arnold Kwan Poon Keong (RM12,500).
“Bursa Malaysia memandang serius pelanggaran itu kerana keperluan untuk membuat pengumuman segera mengenai perintah pembubaran yang menjejaskan kepentingan pemegang saham dan mencetuskan penyahsenaraian di bawah perenggan 16.11(2)(d)(ii) Syarat-Syarat Penyenaraian Pasaran Utama penting kepada pemegang saham dan pelabur untuk membantu membuat keputusan pelaburan bermaklumat,” katanya.
-- BERNAMA