Kilang Proses Nanas Berskala Besar Bakal Dibina Di Tanjung Manis
SIBU, 26 Mei (Bernama) -- Sebuah kilang berskala besar bagi memproses dan mengeluarkan produk nanas dalam tin bagi tujuan eksport bakal dibina di Tanjung Manis, Bahagian Mukah dan ia dijangka siap selewat-lewatnya awal tahun depan.
Pengarah Urusan JG Sarava Sdn Bhd (JGS) Datuk Jeyaran Sri Ramalu berkata pembinaan kilang yang dianggarkan menelan kos sekitar RM10 juta itu turut menarik minat pelabur dari China dan kebanyakan mesin untuk kegunaan kilang juga akan diimport dari negara berkenaan.
“Kilang ini mempunyai kapasiti untuk memproses sehingga 50 tan nanas bagi setiap syif sehari dengan sasaran pengeluaran antara 15 hingga 20 kontena bersaiz 12 meter sebulan.
“Jumlah ini boleh ditingkatkan bergantung kepada bekalan buah nanas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan taklimat mengenai projek tanaman nanas di beberapa lokasi di Sarawak serta rancangan pembinaan kilang pemprosesan di Tanjung Manis kepada delegasi pelabur dari India dan Kanada bersempena Persidangan Pembangunan Industri Nanas Sarawak 2025 di sini.
Beliau berkata jumlah pengeluaran buah nanas di Sarawak ketika ini masih rendah, sekitar 10 hingga 15 tan sehari dan ia perlu dipertingkatkan bagi memastikan kilang dapat beroperasi pada kapasiti maksimum.
Jeyaran berkata JGS kini sedang melaksanakan projek tanaman nanas sawit melibatkan kawasan seluas 12,000 hektar di Sarawak yang dijadualkan siap dalam tempoh lima tahun dan setakat tahun lepas, kira-kira 404 hektar ditanam dengan tanaman tersebut.
Kata beliau para pelabur memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap projek ini dan susulan perbincangan awal sebelum ini, mereka datang ke Sarawak bagi melihat sendiri kemajuan yang sudah dicapai.
“Kami terlebih dahulu menyediakan platform, kemudian barulah menjemput pelabur antarabangsa untuk melihat sendiri pembangunan industri nanas di Sarawak. Sejak awal lagi, mereka sudah menunjukkan keyakinan terhadap usaha kami,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan iaitu pihaknya sedang membuat persiapan bagi membuka sebuah lagi kilang memproses produk berasaskan nanas, khususnya jus nanas di Bintangor yang dijangka memulakan operasi dalam tempoh dua bulan akan datang.
Katanya syarikat itu juga sedang dalam fasa ujian makmal bagi satu produk minuman bertenaga campuran nanas dan tongkat ali selain kini menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
-- BERNAMA