BERITA TERKINI   Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | Salah guna Grok: Kementerian Komunikasi teliti semula nilai ambang lapan juta pengguna bagi syarat lesen media sosial - Fahmi | 

Rangka Kerja ASEAN-GCC-China Perkukuh Kerjasama Ekonomi Serantau - Setiausaha Agung

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa, menandakan langkah penting ke arah pengukuhan kerjasama serantau tiga pihak, khususnya kerjasama ekonomi, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau yang mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan berkata kehadiran barisan pemimpin kanan, termasuk Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, juga hanya membuktikan lagi kepentingan kerjasama yang pesat berkembang.

“Kehadiran pemimpin dari kesemua enam negara anggota GCC ini sememangnya penting. Sewaktu sidang kemuncak pertama di Arab Saudi pada dua tahun lepas, kesemua pemimpin ASEAN telah ke sana dan terbukti menjadi satu sidang kemuncak yang berjaya.

“(Sehubungan itu) kami mengharapkan hasil yang sama di sini di bawah kepengerusian Malaysia,” katanya dalam wawancara dengan media di sini, hari ini.

Kao juga menyifatkan jalinan hubungan dua hala yang baik sebagai menyumbang secara positif ke atas penglibatan ASEAN secara meluas.

“Kunjungan Putera Mahkota (Kuwait) ke Kuala Lumpur adalah untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China. Penglibatan sedemikian membuktikan bagaimana ASEAN, GCC dan China dapat berkumpul dan memajukan kepentingan ekonomi secara bersama,” katanya.

Mengulas prospek Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan GCC, Kao berkata idea itu sememangnya telah diterokai, malah kajian awal kebolehlaksanaannya juga telah siap.

“Kajian itu akan disalurkan menerusi mekanisme rasmi bagi kedua-dua pihak untuk mempertimbang bentuk kerjasama ekonomi yang boleh dilaksanakan antara dua wilayah terbabit. Namun, ini masih lagi di peringkat awal,” katanya.

Kao turut menjelaskan, fokus ekonomi semasa ASEAN adalah pengukuhan kerjasama intraASEAN dan mengekalkan momentum dengan rakan luar sedia ada menerusi FTA dua hala.

“Bagaimanapun, wujud potensi untuk menjalin kemajuan yang baik dan kita perlu menunggu Pengerusi mengumumkan sebarang perkembangan terkini," katanya.

Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC itu pertama kali diterima pakai oleh pemimpin kedua-dua blok pada dua tahun lepas yang menjadi asas penglibatan lebih mendalam.

Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China tahun ini pula dianggap menyuntik dimensi baharu yang membuka ruang bagi kerjasama ekonomi tiga pihak.

Putera Mahkota Kuwait dijadual berlepas ke Malaysia pada Ahad bagi mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di sini.

Laporan media menyatakan Putera Mahkota itu mewakili Emir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah di mesyuarat peringkat tertinggi.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei ini.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadualkan pada 27 Mei serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, menjadi platform penting dalam usaha memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA