Rantaian Maritim Penting Untuk Hubungan Ekonomi ASEAN-GCC-China - ESCAP

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) – Rantaian nilai maritim yang memudah cara jaringan perkapalan dan menjamin laluan laut selamat selain dapat menangani gangguan penting untuk ASEAN, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dalam usaha mereka memperkukuh kerjasama dan integrasi ekonomi tiga pihak.

“Jaringan maritim yang komprehensif penting di ASEAN, Asia dan Teluk apabila 90 peratus daripada perdagangan serantau bergantung pada perkapalan,” kata Ang Chip Hup, bekas perunding negara bagi Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, lebih 60 peratus daripada perdagangan maritim global melalui perairan ASEAN termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan, menjadikan infrastruktur perkapalan dan pelabuhan penting untuk pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata terdapat peluang yang lebih baik untuk jaringan maritim dengan berkembang ke rantau ini melalui Rangkaian Perkapalan Tunggal ASEAN yang dipertingkatkan.

Langkah sedemikian boleh dilaksanakan dengan menambah jumlah pelabuhan pengantara dari China ke Teluk melalui ASEAN, sekali gus mengurangkan kesesakan di hab utama,” katanya kepada Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China di sini pada 26 dan 27 Mei ini.

Malaysia, sebagai pengerusi bergilir ASEAN pada tahun ini, menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak tiga pihak yang pertama dengan GCC, China dan negara-negara Asia Tenggara di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Di sebalik gangguan terhadap perdagangan berikutan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas 168 negara — termasuk antara tarif tertinggi terhadap beberapa negara ASEAN dan China — negara-negara dalam usaha meningkatkan integrasi untuk tidak terlalu bergantung pada negara lain dalam aspek perdagangan.

Ang berkata negara-negara juga perlu mempertimbangkan memperluas Sistem Komuniti Pelabuhan (PCS) untuk penjejakan kargo pada masa nyata dan menekankan kepada perkapalan hijau dan cekap.

“Kita perlu meneliti pelaksanaan Laluan Hijau untuk Perkapalan ASEAN dengan kapal mesra alam diberikan laluan pantas dan caj pelabuhan yang lebih rendah selain dasar yang selaras dengan membolehkan lebih banyak perkongsian kapal dalam kalangan negara ASEAN untuk mengurangkan kos serta yuran pelabuhan dan pelepasan yang standard,” katanya.

Memperluas jaringan maritim ASEAN penting untuk integrasi ekonomi, daya tahan rantaian bekalan dan pertumbuhan mampan di rantau ini, kata Ang, yang juga Penyelidik Kanan dalam Ekonomi dan Industri Maritim di Institut Maritim Malaysia (MIMA) dan seorang pegawai tentera laut yang bersara serta pernah berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada masa ini, terdapat inisiatif seperti Tetingkap Tunggal ASEAN (ASW) yang menambah baik pelepasan kastam dan mengatasi halangan bukan tarif yang tertentu serta Pelan Induk mengenai Kesalinghubungan ASEAN yang memberi tumpuan kepada pemodenan pelabuhan dan logistik yang lancar.

Pengerusi Khazanah Research Institute Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata ASEAN perlu terus mempertingkat pergerakan barangannya melalui laut dan terutamanya udara.

“Pergerakan barangan yang cekap dalam ASEAN amat diperlukan untuk memperkukuh integrasi ekonomi antara ASEAN, Asia Timur dan China.

“Perdagangan intra-ASEAN turut bergantung pada sistem pengangkutan intra-ASEAN yang cekap,” katanya.

Nungsari berpendapat selain infrastruktur, ASEAN perlu bergerak ke arah mempunyai penyeragaman dalam kastam bagi membolehkan pergerakan barangan yang bebas dalam blok itu.

“Ini akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana di seluruh rantau memanfaatkan permintaan yang lebih besar. Ini juga akan menjadikan ASEAN sebagai pasaran yang menarik untuk melabur,” katanya.

-- BERNAMA