Russian Helicopters Sasar Pasaran Asia Tenggara Dengan Helikopter Baharu

 

Oleh Zarul Effendi Razali

LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) -- Subsidiari konglomerat pertahanan Rostec, Russian Helicopters mahu mengembangkan kehadirannya di pasaran Asia Tenggara dengan memperkenalkan pesawat terbaharunya di  Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.

Syarikat itu sedang mempromosikan helikopter luar pesisir MI-171A3 yang telah dipertingkatkan, helikopter pemadam kebakaran KA-32A11M dan helikopter pelbagai guna Ansat.

Jurucakap syarikat itu, Puminova Valeria menjelaskan Mi-171A3 merupakan penyelesaian yang ideal untuk banyak negara yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

"Malaysia, sebagai contoh, merupakan pengeksport utama sumber semula jadi, dengan rizab minyak yang melebihi 4 bilion tong. Banyak negara Asia lain yang menghadiri acara itu juga mempunyai garis pantai atau rangkaian deposit luar pesisir yang meluas.

"Bagi negara-negara ini, adalah penting untuk mempunyai pesawat yang mampu beroperasi di darat serta lautan. MI-171A3 amat sesuai dalam memenuhi keperluan ini," katanya kepada Bernama semasa di LIMA 2025 hari ini..

Direka khusus untuk sektor minyak dan gas, MI-171A3 mampu menyokong pengangkutan kakitangan dan kargo ke platform penggerudian minyak selain turut dilengkapi untuk operasi mencari dan menyelamat luar pesisir. 

Helikopter ini mempunyai berat maksimum penerbangan sebanyak 13 tan dan boleh membawa sehingga 4 tan muatan. dengan tangki bahan api tambahan, ia mampu terbang sehingga 1,000 kilometer. 

 Ia boleh menampung sejumlah 24 penumpang, menjadikannya sebagai helikopter luar pesisir berkapasiti tinggi yang paling banyak dihasilkan di pasaran dan ia memenuhi piawaian keselamatan terkini. 

Tuurt dipamerkan adalah helikopter Ansat yang serba guna, ia boleh didapati dalam pelbagai konfigurasi seperti pengangkutan penumpang, pemindahan pesakit (ambulans) termasuk operasi mencari dan menyelamat, setiap konfigurasi ini memenuhi permintaan yang tinggi di seluruh rantau Asia Pasifik.

Dalam sektor pemadam kebakaran, Russia Helicopters menawarkan KA-32A11M yang telah dinaik taraf serta boleh dipasang dengan sistem pemadam kebakaran SP-32 tercanggih yang dibangunkan di Rusia. Helikopter ini mampu mengatasi pesaing lain dengan keupayaan untuk membawa sehingga 4,000 liter air dan 400 liter busa dalam setiap penerbangan pemadaman kebakaran.

-- BERNAMA