BERITA TERKINI   Aspek keselamatan perkhidmatan KLIA Aerotrain yang akan beroperasi berada di tahap tinggi - Loke | Perkhidmatan KLIA Aerotrain akan mula beroperasi pada 1 Julai ini bermula 10 pagi - Loke | 

MPOC Akan Minta Penjelasan Suruhanjaya Eropah Status 'Risiko Standard' Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan meminta penjelasan Suruhanjaya Eropah (EC) mengenai metodologi penanda aras penuh yang digunakan dalam penilaiannya mengenai status 'risiko standard' yang diberikan kepada Malaysia di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

Pengumuman yang dibuat oleh EC semalam mengesahkan laporan Malaysia diberikan status 'risiko standard' di bawah sistem penanda aras negara EUDR manakala negara lain yang merekodkan sebilangan kecil kehilangan dan degradasi hutan termasuk negara anggota EU menerima status 'risiko rendah'.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata keputusan EC mencemarkan keseluruhan sistem penanda aras negara kerana EUDR sewajarnya mendorong kemajuan sebenar terutamanya dari negara seperti Malaysia yang telah memaparkan kepimpinan pengurusan hutan dengan lestari.

"Kami akan meminta penjelasan daripada EC mengenai kaedah penanda aras penuh yang digunakan dalam penilaiannya. Ini akan menjadi keutamaan kami.

"Status 'risiko standard' bagi Malaysia tidak mengiktiraf kemajuan dan pencapaian yang telah dilaksanakan oleh industri minyak sawit negara dalam mengurangkan penyahhutanan dan menghasilkan minyak sawit mampan kepada pengguna Eropah," katanya dalam kenyataan.

Belvinder berkata Malaysia secara konsisten telah memperlihatkan komitmen kukuh dan boleh diukur dalam pemuliharaan hutan, dengan mencapai pengurangan penyahhutanan yang ketara sepanjang 10 tahun lepas.

Menurutnya data satelit bebas yang terkini daripada Satelligence menunjukkan sektor minyak sawit Malaysia telah mentransformasikan jejak alam sekitar negara dengan lebih baik, yang mengesahkan kepimpinannya dalam menangani isu penyahhutanan.

Selain itu, data terdahulu oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang digunakan oleh EU juga menonjolkan prestasi cemerlang Malaysia.

“Selain itu, Global Forest Watch yang menyediakan data yang telus, boleh diakses dan konsisten, memperlihatkan Malaysia masih mengekalkan lebih banyak hutan primer berbanding banyak negara perindustrian menurut sejarah, dan kita juga lebih baik dari segi melindunginya.

“Antara 2014 dan 2023, Malaysia mengurangkan kehilangan hutan primer sebanyak 65 peratus, mengatasi rakan setara global.

“Pada 2024, kita mencatatkan pengurangan 13 peratus lagi, menjadikan kali pertama Malaysia tidak tersenarai dalam 10 teratas dunia dari segi kehilangan hutan asli primer," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPOC Datuk Carl Bek-Nielsen berkata syarikat dan pekebun kecil minyak sawit Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam mengurangkan kehilangan hutan primer dan degradasi hutan.

Ini turut dibuktikan melalui pelaksanaan mandatori Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sejak 2020 yang telah membawa kepada pengurangan yang besar bagi kehilangan hutan di Malaysia.

“EC sedar bahawa rekod kita dalam perkara ini jauh lebih baik berbanding beberapa negara Eropah. Bagaimanapun mereka memberikan status ‘risiko rendah’ kepada ahli sendiri.

“Sikap berat sebelah ini tentunya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan bukannya membina jambatan untuk kerjasama yang lebih erat,” katanya.

-- BERNAMA