ASEAN Digesa Rapatkan Jurang PMKS Bagi Rangsang Pertumbuhan
Oleh V. Sankara Subramaniam
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu memberi keutamaan teratas bagi usaha merangka strategi dan dasar untuk mengatasi cabaran yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menurut sebuah dewan perniagaan.
Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata tindakan tersebut perlu dilaksanakan supaya ekonomi serantau dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada sektor itu.
PMKS berpotensi untuk memanfaatkan kekukuhan ekonomi kolektif mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan serantau.
Ketika para pemimpin negara berhimpun di sini untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dipengerusikan Malaysia, mereka perlu menyuarakan sokongan kepada PMKS dengan menawarkan penyelesaian bertujuan mengatasi kelemahan, katanya kepada Bernama selepas prarakaman “Paarvai” -- sebuah program majalah berbahasa Tamil -- untuk Bernama TV baru-baru ini.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi PMKS terus menghalang penjajaran serantau mereka dan mengekang perusahaan daripada meraih potensi perniagaan yang maksimum.
Walaupun dianggap sebagai tulang belakang hampir setiap negara Asia Tenggara namun, PMKS menghadapi cabaran meliputi daripada jurang pembangunan hingga kurangnya kesediaan digital serta jurang kapasiti institusi yang luas.
Halangan lain termasuk perbezaan ketara dari segi struktur, dasar dan kapasiti institusi, jurang pembangunan dan ketiadaan kawal selia rentas sempadan yang seragam serta sistem sokongan inklusif.
Selain itu, PMKS juga menghadapi kemajuan inovasi yang tidak setara, tahap kesediaan digital yang rendah, kekurangan akses kepada pasaran eksport dan kewangan serta terpaksa menghadapi kecenderungan dasar perlindungan oleh ekonomi negara anggota.
Kumararajah berkata ekosistem ASEAN untuk PMKS akan kekal terpecah-pecah, melainkan penyelesaian muktamad dapat dicapai oleh kalangan pemimpin untuk mengatasi cabaran itu.
Beliau berkata memandangkan Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini, pihaknya berharap akan wujud keazaman baharu untuk merapatkan jurang itu, sekali gus ASEAN dapat memanfaatkan potensi penuh sektor tersebut, lebih-lebih lagi dengan tema ASEAN kali ini, Keterangkuman dan Kemampanan.
“Landskap PMKS ASEAN sangat pelbagai. Ini menimbulkan cabaran utama dalam mencapai integrasi digital yang lebih kukuh, memperkemas kawal selia rentas sempadan, dan membangunkan sistem sokongan inklusif yang mencerminkan realiti setiap negara anggota,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian ekonomi dan struktur PKS di Asia Tenggara terbukti berada dalam jurang yang luas dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.
Beliau berkata pendapatan per kapita Singapura berada pada paras tertinggi US$84,734 manakala paling rendah ialah Kemboja (US$1,875) dan Laos (US$2,075) pada 2023.
"Ketaksamaan ini mencerminkan perbezaan infrastruktur, kekompleksan ekonomi dan kematangan institusi.
“Ini menjadikan ASEAN tidak realistik sekiranya menggunakan satu pendakatan untuk semua apabila merangka strategi pembangunan PKS,” katanya.
Beliau berkata produktiviti dan sumbangan ekonomi oleh PKS juga amat berbeza di seluruh rantau ini.
Contohnya, PKS Indonesia menyumbang 60.3 peratus kepada KDNK negara itu, manakala hanya 18 peratus di Laos, katanya.
Kumararajah berkata ASEAN juga menghadapi kemajuan inovasi yang tidak sekata, kesediaan digital dan akses kepada pasaran eksport.
Akses kepada kewangan kekal menjadi kebimbangan utama, terutama di negara anggota yang berpendapatan rendah.
Menurut data Bank Pembangunan Asia (ADB), hanya kira-kira 30 peratus PKS ASEAN mempunyai akses kepada pembiayaan rasmi manakala syarat cagaran yang tinggi dan pilihan kredit yang terhad masih wujud di negara seperti Kemboja dan Laos.
Jurang digital menjadi satu lagi cabaran utama walaupun Singapura mendahului dalam teknologi pintar dan e-dagang namun yang lain -- termasuk Myanmar, Kemboja dan Laos -- terus ketinggalan berikutan kelemahan infrastruktur dan jalur lebar yang terhad manakala tahap celik digital juga rendah, katanya.
Semua itu boleh menghalang pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) secara berkesan.
Pemecahan kawal selia juga merumitkan operasi PKS rentas sempadan, dengan sistem cukai yang berbeza-beza, standard undang-undang di samping undang-undang perniagaan yang meningkatkan kos transaksi.
Ketiadaan pengiktirafan bersama terhadap pensijilan dan piawaian mengehadkan usaha boleh skala di seluruh rantau ini.
Di samping itu, tahap tidak formal yang tinggi kekal sebagai tekanan terutama di Indonesia, Vietnam dan Kemboja, apabila lebih 60 peratus PKS tidak berdaftar atau separa formal, sekali gus berada di luar rangka kerja dasar formal dan tanpa akses kepada perlindungan atau sokongan undang-undang.
Kumararajah berkata tanpa intervensi bersasar dan sensitif terhadap situasi negara serta mekanisme penyelarasan yang lebih kukuh, ekosistem PKS ASEAN akan kekal terpecah-pecah -- akhirnya mengekang potensi ekonomi kolektif rantau ini.
-- BERNAMA