LIMA'25: Platform Syarikat Tempatan Perkasa Bidang Aeroangkasa Negara
LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) -- Global Component Asia, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat awam dan tentera tempatan memperkukuh keupayaan aeroangkasa dan daya saing pertahanan negara dengan membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang itu.
Ia dilakukan dengan kerjasama antarabangsa menerusi beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa Persidangan Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’ 25) sejak Selasa lepas.
Pengerusi GCA Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata antaranya, termasuk perjanjian bersama CW Aero Services (CWAS) yang membolehkan jalinan kerjasama dilakukan untuk meningkatkan kehadiran Malaysia dalam sektor aeroangkasa global sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri itu dengan lebih meluas.
“Kerjasama dengan CWAS ini satu langkah penting dalam komitmen kami untuk memajukan keupayaan Malaysia dalam sektor aeroangkasa.
“Dengan menggabungkan kepakaran tempatan kami bersama teknologi dan penyelesaian bertaraf dunia daripada CWAS, bukan sahaja mengukuhkan visi strategik kami tetapi juga selaras dengan objektif negara untuk memperkukuh pembangunan industri dan daya saing global dalam penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata dalam usaha untuk terus memperkasakan industri pertahanan negara, GCA selaku syarikat yang turut mempunyai kepakaran khusus dalam bidang komponen elektrik dan pencahayaan bagi pelbagai platform pesawat turut menandatangani MoU bersama pemain industri tempatan.
Antaranya, MoU dengan Pen Aviation bagi membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) untuk agensi pertahanan dan penguatkuasaan di negara ini.
“Pelaburan GCA dalam Pen Aviation dijangka mempercepat inovasi serta mengukuhkan keupayaan teknologi pertahanan negara.
“Malah, menerusi LIMA’25 kali ini, kita juga dapat menjalinkan kerjasama dengan Kemalak Aerospace dalam bidang MRO Avionik (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sistem pesawat avionik) dan komponen FA-50M, iaitu pesawat pejuang ringan,” katanya.
Beliau berkata usaha ini menyokong Tentera Udara Diraja Malaysia melalui penyelenggaraan yang boleh dipercayai dan memupuk kepakaran tempatan dalam sektor pertahanan.
-- BERNAMA