BERITA TERKINI   Sepak Takraw, Judo, Olahraga, Menembak dan Muay Thai antara sukan yang cemerlang pada Sukan SEA 2025 - Ketua Pengarah MSN | Sukan SEA 2025: Selepas lapan tahun Malaysia rangkul pingat emas sepak takraw regu lelaki, tewaskan Vietnam 15-9, 15-9 | Sukan SEA 2025: 34 peratus daripada 646 muka baharu berjaya raih pingat - Ketua Pengarah MSN | Sukan SEA 2025: Jaguh wushu negara, Tan Cheong Min dinamakan atlet terbaik wanita negara – Ketua Pengarah MSN | Sukan SEA 2025: Perenang negara, Khiew Hoe Yean dinamakan atlet terbaik lelaki negara – Ketua Pengarah MSN | 

MIDA Perkenal Dua Program Di SEMICON SEA 2025, Pacu Kerjasama Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkenalkan dua program strategik pada acara SEMICON Asia Tenggara (SEA) 2025 bagi memesatkan pertumbuhan industri dan menggalakkan kerjasama antarabangsa.

MIDA berkata program strategik berkenaan iaitu Program Rantaian Bekalan dan Sesi “Handshake” atau jalinan usaha sama menjadi acara penting dengan penyertaan syarikat gergasi industri seperti Micron Technology Inc., ASML Holding NV dan Ferrotec Holdings Corporation.

Menurutnya sesi ini menyediakan laluan terus kepada pembekal Malaysia untuk berintegrasi dengan rantaian bekalan global, menyasarkan kepada aktiviti semikonduktor bernilai tinggi -- sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama di pasaran antarabangsa.

Pada tahun lepas Malaysia berjaya meraih pelaburan pembuatan berjumlah RM120.5 bilion, dengan RM55.8 bilion dikhususkan kepada sektor elektrik dan elektronik, mewujudkan 88,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencerminkan pertumbuhan mantap dalam sektor teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kejayaan dalam menarik pelaburan itu memaparkan keyakinan global terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia.

“Ini bukan sekadar mengenai angka -- ia berkenaan membina masa depan yang mampan. Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) kita sedang mentransformasikan Malaysia kepada hab semikonduktor yang menyeluruh, daripada reka bentuk dan pembuatan sehingga pengujian dan pembungkusan.

“Kita menyaksikan adanya minat daripada pemain global yang mengakui keunikan saranan nilai kita – tenaga kerja mahir, infrastruktur yang kukuh dan sokongan kerajaan yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sikh Shamsul berkata Program Rantaian Bekalan dan Sesi “Handshake” oleh MIDA menjadi contoh terbaik bagaimana Malaysia memudahkan hubungan yang penting dan merangsang pertumbuhan industri.

Melalui Program Rantaian Bekalan, peserta Malaysia diberikan ilmu penting mengenai piawaian global dan peluang untuk berintegrasi manakala Sesi “Handshake” membolehkan perbincangan terus antara peneraju industri antarabangsa dan pihak berkepentingan tempatan.

Libat urus dengan pemimpin industri di SEMICON SEA 2025 adalah antara usaha negara melalui NSS, iaitu pelan hala tuju strategik untuk memajukan segmen kritikal dalam rantaian nilai semikonduktor termasuk reka bentuk cip, fabrikasi wafer, pembungkusan lanjutan dan bahan kimia khusus.

NSS mencerminkan hasrat Malaysia untuk beralih daripada pangkalan pembuatan tradisional kepada hab serantau bagi inovasi, penciptaan bersama dan kecemerlangan semikonduktor.

SEMICON SEA 2025 berlangsung mulai 20 hingga 22 Mei 2025 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Singapura bertemakan “Lebih Teguh Bersama - Berganding Bahu Mengharungi Ketidaktentuan dan Memupuk Daya Tahan.”

-- BERNAMA