BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Harga Minyak Dijangka Kekal Tinggi Sekitar US$65 Setong Didorong Risiko Geopolitik

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Harga minyak dijangka kekal tinggi sekitar US$65 setong, disokong oleh ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan ketidakpastian mengenai gencatan senjata antara Ukraine dan Rusia, menurut Rystad Energy.

Naib Presiden Pasaran Komoditinya Priya Walia berkata harga dijangka berlegar sekitar US$65 setong dengan turun naik dalam julat US$5.

“Pasaran sekurang-kurangnya masih belum mengambil kira kemungkinan peningkatan berskala penuh ketegangan antara Israel dan Iran buat masa ini. Walaupun Selat Hormuz menyumbang hampir 26 peratus daripada eksport minyak mentah global melalui laut, para pedagang hanya bertindak balas terhadap risiko gangguan, bukan penutupan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walia berkata permintaan terhadap minyak dijangka meningkat hanya sebanyak 700,000 tong sehari (bpd) pada 2025.

Sebaliknya, bekalan dijangka meningkat sebanyak 2.2 juta tong sehari, dengan negara-negara bukan OPEC+ menyumbang kira-kira 75 peratus daripada pertumbuhan itu. Minyak mentah dan kondensat menyumbang sebanyak 1.8 juta tong sehari daripada jumlah peningkatan bekalan keseluruhan.

Walaupun lebihan menjadi topik utama, Rystad Energy terus melihat imbangan minyak mentah sebagai konstruktif untuk musim panas di Hemisfera Utara. Permintaan minyak mentah oleh loji penapisan dijangka meningkat sebanyak dua juta tong sehari sepanjang musim panas, yang sepatutnya mengetatkan imbangan pasaran.

Selain itu, suhu yang lebih tinggi daripada biasa berkemungkinan mendorong peningkatan permintaan minyak mentah bagi penjanaan tenaga, terutamanya di kawasan yang terjejas akibat gelombang haba.

Iran kekal sebagai pemboleh ubah utama dalam unjuran bekalan. Jika satu perjanjian dicapai, Iran berpotensi menambah 500,000 tong sehari ke pasaran menjelang akhir 2025, dengan peningkatan  selanjutnya pada 2026 dan seterusnya, bergantung kepada tahap pelaburan masa hadapan.

“Anggaran semasa menunjukkan bahawa pengeluaran di Iran telah pulih walaupun berdepan sekatan yang berterusan, sebahagian besarnya disebabkan oleh pembelian berterusan dari China,” katanya.

Bagaimanapun, pertambahan beberapa loji penapis bebas dari China dan sebuah firma perdagangan di Singapura ke dalam senarai sekatan memperkenalkan risiko penurunan terhadap unjuran berkenaan.

“Ini boleh mengurangkan eksport Iran sehingga 500,000 tong sehari. Sekiranya berlaku konfrontasi ketenteraan secara langsung yang melibatkan Iran, kesan ke atas bekalan boleh menjadi jauh lebih besar,” katanya.

Walaupun OPEC+ mempunyai kapasiti lebihan untuk bertindak balas, sebarang gangguan di Selat Hormuz boleh menyukarkan logistik serantau dan menangguhkan penyesuaian bekalan, tambahnya.

-- BERNAMA