BERITA TERKINI   Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | Ketua jabatan dibenar pertimbang permohonan bekerja dari rumah bagi pegawai terkesan kesesakan trafik semasa Sidang Kemuncak ASEAN - JPA | Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka menerima jumlah pengunjung yang mencatat rekod sebanyak 3.51 juta, jauh melebihi sasaran 1.5 juta orang - Ketua Setiausaha MITI | Kepimpinan di semua peringkat mesti dengar, bertindak atas keperluan rakyat - PM Anwar | Belanjawan 2026: Rakyat nikmati banyak manfaat tanpa kenaikan cukai hasil tatakelola baik, pengurangan ketirisan - PM Anwar | 

Peranan APEC Lebih Ketara Dalam Senario Ketidaktentuan Global - Menteri Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Rantau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi global dan landskap perdagangan, kata Menteri Perdagangan Korea Selatan Inkyo Cheong.

Beliau berkata kepentingan itu lebih ketara walaupun pada masa sama negara-negara anggota APEC berdepan cabaran bertindan yang memberi kesan ke atas landskap perdagangan global.

"Ketika perdagangan rentas sempadan dan rantaian bekalan terus berkembang, ketidakpastian yang semakin meningkat sebaliknya memberi tekanan kepada ekonomi global dan landskap perdagangan.

“Berdasarkan senario perdagangan global yang mencabar, peranan APEC telah menjadi semakin penting berbanding sebelum ini.

“Malah, inilah sebabnya dunia memberi perhatian terhadap mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) bagi APEC kali ini,” katanya dalam kenyataan bersempena mesyuarat itu di Jeju, Korea Selatan.

Sehubungan itu, sejajar dengan banyak cabaran yang membelenggu sistem perdagangan pelbagai hala, Cheong berkata hasil daripada mesyuarat itu akan turut ketara di serata dunia.

Mesyuarat yang menghimpunkan barisan menteri perdagangan mewakili 21 negara anggota APEC, dimulakan dengan gesaan kerjasama dan pemulihan kepercayaan dalam sistem perdagangan multilateral.

Cheong turut menekankan perbincangan di Jeju akan memberi tumpuan kepada pemulihan multilateralisme dan hala tuju ekonomi APEC untuk masa depan di bawah tema “Building a Sustainable Tomorrow - Connect, Innovate, Prosper".

Topik utama termasuk inovasi kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan perdagangan, masa depan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan sistem perdagangan multilateral serta cara untuk menggalakkan kemakmuran melalui perdagangan mampan.

“Perbincangan mengenai sistem perdagangan pelbagai hala, termasuk WTO, telah lama menjadi tumpuan mesyuarat MRT dan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala akan memperkenalkan topik untuk dibincangkan.

“Oleh kerana terdapat pelbagai pendapat mengenai peranan dan hala tuju WTO, saya teruja untuk mendengar semua pandangan itu,” katanya.

-- BERNAMA