BERITA TERKINI   Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Malaysia, Jepun Meterai Janji Niaga Bioekonomi Hijau Bernilai RM1.34 Bilion Di Ekspo 2025 Osaka

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Jepun mencatatkan pencapaian baharu dalam perkongsian bioekonomi hijau apabila memeterai tiga perjanjian strategik bernilai RM1.34 bilion pada 12 Mei di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.

Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menjelaskan acara yang diadakan sempena pelancaran Minggu MOSTI itu merupakan usaha ke hadapan bagi kedua-dua negara untuk memacu agenda ekonomi rendah karbon dan berasaskan bio, sejajar dengan komitmen kemampanan global.

“Kerjasama itu melibatkan pembangunan tenaga boleh baharu dan pengkomersialan produk bioteknologi mampan, seiring dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan matlamat kemampanan global,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis

Bioeconomy Corporation ialah agensi pembangunan ekonomi utama di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata pemilihan Jepun sebagai rakan kongsi strategik Malaysia dalam inovasi dan teknologi mencerminkan kekukuhan kerjasama global untuk memajukan pertumbuhan ekonomi hijau dan menumpukan cabaran iklim global.

“Malaysia berbangga untuk mengetengahkan potensi bioekonomi negara kepada pasaran global melalui kerjasama strategik seperti ini.

“Di samping memanfaatkan kepakaran Jepun dalam inovasi hijau, syarikat berstatus BioNexus dan yang di bawah program Pemecut Berasaskan Bio (BBA) berada pada kedudukan baik untuk memacu transformasi dalam tenaga boleh baharu, pertanian mampan dan produk berasaskan bio,” katanya.

Perjanjian pertama yang dimeterai melibatkan syarikat tenaga boleh baharu reNIKOLA Holdings Sdn Bhd dan Sumitomo Corporation Jepun untuk meneroka usaha sama dalam membangunkan bahan api boleh baharu.

Perjanjian kedua pula antara syarikat biotenaga Malaysia, MTC Orec Sdn Bhd dan IHI Plant Services Corporation bagi jalinan kerjasama untuk pembangunan teknologi biogas di Asia Tenggara.

Perjanjian ketiga melibatkan syarikat berstatus BioNexus, Glyken Bio Products Sdn Bhd yang menandatangani memorandum perjanjian dan kontrak pembekalan dengan Respect Co Ltd Jepun untuk pengedaran produk berasaskan glikopeptida sarang burung di pasaran Jepun.

Mohd Khairul Fidzal berkata kerjasama itu juga mencerminkan keselarian antara komitmen Malaysia terhadap inovasi mampan dengan tema ekspo “Designing Future Society for Our Lives”.

“Semua usaha itu bukan sahaja mengenai mempercepat akses pasaran dan pemindahan teknologi malah juga mengenai langkah mewujudkan peluang untuk pembangunan penyelesaian bersama bagi menangani isu perubahan iklim, keterjaminan tenaga dan daya tahan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA