BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Tarif : Rundingan Malaysia-AS Lancar, Banyak Isu Boleh Diselesaikan - Tengku Zafrul  

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Perbincangan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balas setakat ini berjalan lancar dengan banyak isu boleh diselesaikan manakala sebahagian lagi memerlukan penelitian lanjut, khususnya berkaitan sektor strategik negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Jeju, Korea Selatan.

Delegasi Malaysia akan meneruskan rundingan di Washington pada pada 28–30 Mei ini yang akan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Mastura Ahmad Mustafa manakala beliau sendiri dijadual ke AS pada Jun depan untuk perbincangan lanjut.

“Setakat ini kita difahamkan dalam perbincangan yang diadakan di antara ketua perunding kedua-dua belah pihak, nampaknya berjalan lancar.

“Kita dah tandatangan perjanjian kerahsiaan (NDA) dan tidak boleh berbincang mengenai butiran (rundingan) tetapi isu-isunya selalunya berkaitan dengan sektor-sektor yang penting untuk negara kita," katanya kepada Bernama.

Tengku Zafrul berkata antara sektor utama yang dibincangkan ialah semikonduktor yang bukan hanya penting untuk Malaysia tetapi turut saling melengkapi keperluan industri di AS.

Selain itu, beliau berkata perbincangannya dengan AS juga menyentuh aspek memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Malaysia turut menghadiri Mesyuarat Caucus ASEAN yang melibatkan tujuh negara anggota APEC bagi menyelaras pendirian serantau berkaitan isu perdagangan dan kerjasama ekonomi dalam forum berkenaan.

--BERNAMA