BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Yili Manfaatkan Peningkatan Permintaan Tenusu, Lonjak Kehadiran Di Asia

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

INNER MONGOLIA, 14 Mei  (Bernama) -- Syarikat gergasi tenusu China Yili Group kini dalam usaha melonjakkan kehadirannya di Asia, didorong oleh prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan 2024 selain peningkatan permintaan produk tenusu yang merentasi pasaran utama di Asia Tenggara.

Yili mencatat perolehan hasil sebanyak 115.78 bilion yuan (US$16.21 bilion) bagi tahun kewangan 2024, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengeluar tenusu utama Asia bagi tahun kesebelas berturut-turut selain dalam kelompok lima teratas di peringkat dunia.

Menurut pegawai Yili, prestasi perniagaan antarabangsa syarikat itu kukuh dengan perolehan hasil aiskrimnya di luar negara meningkat sebanyak 13 peratus manakala produk susu rumusan bayi melonjak 68 peratus tahun ke tahun.

“Kami berhasrat untuk memasarkan lebih banyak produk tenusu di Asia tahun ini susulan permintaan yang semakin meningkat, terutamanya untuk produk yogurt dan aiskrim.

“Jenama utama seperti Cremo dan Joyday terus menerajui pasaran di Asia Tenggara dan muncul antara tiga jenama aiskrim teratas di Indonesia dan Thailand,” katanya pada sesi lawatan ke Lembah Kesihatan Moden Pintar Yili oleh sekumpulan wartawan program Pusat Komunikasi Persatuan Antarabangsa China (CIPCC), baru-baru ini.

Beliau berkata momentum itu juga bertepatan dengan usaha strategik Yili di Asia Tenggara yang menyaksikan syarikat itu membuka anak syarikat perdagangan di Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Myanmar sejak 2015 untuk merebut peluang dalam peningkatan permintaan tenusu di rantau itu.

Pada masa sama, beliau berkata syarikat itu memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan dan automasi dalam usaha meningkatkan kualiti serta kecekapan dalam penghasilan susu.

Bersandarkan kedudukan kukuh merentasi lebih 60 negara dan rantau, Yili telah membangunkan rangkaian global yang komprehensif merangkumi lebih 2,000 rakan di 39 negara, 15 pusat penyelidikan dan inovasi dan 81 kemudahan pengeluaran.

Produk inovasi utamanya iaitu Lembah Kesihatan Moden Pintar Yili di Hohhot, kekal menjadi asas bagi wawasan pertumbuhan jangka panjang syarikat dan menjadi sebahagian daripada Rancangan Lima Tahun ke-14 China untuk menjadi 'Lembah Silikon Tenusu.’

Projek yang menyepadukan pembangunan industri dengan infrastruktur bandar pintar, dijangka mewujudkan sebanyak 140,000 pekerjaan selain menyokong peluang pekerjaan untuk lebih 350,000 orang menjelang 2035.

-- BERNAMA