BERITA TERKINI   BN tidak pernah goyah, tetap rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan - TPM Ahmad Zahid | BN sedia laksana penjenamaan semula berikutan kekangan peruntukan perlembagaan gabungan - TPM Ahmad Zahid | Penting bagi Kemboja, Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan bagi redakan ketegangan kedua-dua negara - Anwar | Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan susulan persetujuan yang dicapai PM Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Dis - Wisma Putra | Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bakal anjur Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur pada 22 Dis - Wisma Putra | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Harga Minyak Kacang Soya Yang Lebih Kukuh

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Selasa, disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh dan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin reda, kata pedagang minyak sawit, David Ng.

Katanya, stok bekalan tempatan yang semakin meningkat dan paras pengeluaran yang lebih tinggi terus memberi tekanan menurun ke atas harga MSM.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,750 setan dan paras rintangan pada RM3,950 setan,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengurangkan keuntungan awal daripada sesi pertama berikutan lonjakan dalam bekalan, tetapi kemudiannya kembali memperoleh momentumnya untuk ditutup hampir pada paras tengah hari.

Pasaran berdepan dengan tekanan jualan pada permulaan sesi kedua selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan inventori April meningkat ke paras tertinggi enam bulan.

Dalam laporan prestasi industri pada bulan April 2025 yang dikeluarkan hari ini, MPOB melaporkan pengeluaran MSM meningkat 21.52 peratus atau 298,531 tan kepada 1.69 juta tan daripada 1.39 juta tan pada bulan Mac.

Sathia berkata peningkatan pengeluaran April dijangka secara meluas, memandangkan tanaman sawit memasuki tempoh pengeluaran tertinggi bermusim pada suku kedua.

Di Malaysia, pengeluaran tertinggi biasanya berlaku antara Ogos dan Oktober, manakala di Indonesia ia berlaku antara September dan November.

Ketika ditutup, Mei 2025 meningkat RM37 kepada RM3,827 setan, Jun 2025 melonjak RM82 kepada RM3,895 setan, Julai 2025 naik RM79 kepada RM3,893 setan, Ogos 2025 menambah RM68 kepada RM3,895 setan, September 2025 menokok RM59 kepada RM3,896 setan dan Oktober 2025 meningkat RM46 kepada  RM3,899 setan.

Jumlah dagangan merosot kepada 86,227 lot daripada 89,661 lot semalam, manakala kepentingan terbuka naik kepada 244,857 daripada 240,098 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan meningkat RM50 kepada RM3,900 setan. 

-- BERNAMA