BERITA TERKINI   Aspek keselamatan perkhidmatan KLIA Aerotrain yang akan beroperasi berada di tahap tinggi - Loke | Perkhidmatan KLIA Aerotrain akan mula beroperasi pada 1 Julai ini bermula 10 pagi - Loke | 

Bursa Malaysia Bercampur-campur Pada Tengah Hari

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih yang wujud semula dalam sentimen bercampur-campur di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.10 peratus atau 1.53 mata kepada 1,544.27 daripada 1,542.74 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.25 mata kepada 1,544.99 dan bergerak antara 1,542.74 dan 1,547.60 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif sedikit, dengan 433 kaunter rugi mengatasi 361 kaunter untung manakala 453 kaunter tidak berubah, 1,128 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.97 bilion saham bernilai RM965.84 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen kekal berhati-hati dalam rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Kami berharap penurunan agresif sebanyak 1.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2.0 peratus kepada 1.0 peratus, paras terendah dalam tempoh 14 tahun akan memacu keyakinan pasaran.

“Bagaimanapun, kami berharap bank-bank akan memainkan peranan mereka dengan lebih longgar dalam kelulusan pinjaman. Kami berpandangan langkah terkini BNM ini akan menggalakkan minat belian dalam saham-saham perbankan dan menjangka indeks akan berada dalam julat 1,545 hingga 1,560 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM9.92, Public Bank dan CIMB, masing-masing mendatar pada RM4.45 dan RM6.87 manakala Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM14.28 dan IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM7.00.

Dalam dagangan aktif, Sapura Energy mendatar pada 4.5 sen manakala Lotte Chemical menambah 5.5 sen kepada 60 sen, Tanco naik dua sen kepada 93.5 sen dan MyEG meningkat satu sen kepada 91 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.54 mata kepada 11,506.35, Indeks FBMT 100 meningkat 15.56 mata kepada 11,272.59 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 13.75 mata kepada 11,447.08.

Indeks FBM 70 naik 40.30 mata kepada 16,306.33 dan Indeks FBM ACE meningkat 7.40 mata kepada 4,668.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 17.83 mata kepada 18,072.72, Indeks Tenaga naik 3.57 mata kepada 690.01 dan Indeks Perladangan meningkat 26.06 mata kepada 7,227.09. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.95 mata kepada 153.96.

-- BERNAMA