BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

IPP Malaysia Berkembang 3.2 Peratus Pada Mac 2025

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada Mac 2025 mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata pertumbuhan berkenaan disokong oleh sektor pembuatan dan perlombongan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan dan perlombongan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus dan 1.9 peratus.

"Peningkatan dalam pengeluaran sektor pembuatan pada Mac 2025 disokong oleh pengeluaran dalam industri berorientasikan eksport yang tumbuh kepada 4.8 peratus daripada 5.7 peratus yang direkodkan pada Februari 2025.

"Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh pertumbuhan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang mencatatkan peningkatan 9.0 peratus, diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 10.6 peratus," katanya.

Selain itu, pembuatan kimia dan produk kimia turut menyumbang pada kadar 4.9 peratus, manakala industri berorientasikan eksport berkembang sebanyak 10.1 peratus berbanding bulan sebelumnya (Februari 2025: -5.6 peratus).

Industri berorientasikan domestik berkembang 2.3 peratus pada Mac 2025 berbanding pertumbuhan 2.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

"Peningkatan positif ini disumbangkan oleh pembuatan produk prosesan makanan sebanyak 7.8 peratus, produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (4.2 peratus) dan produk galian bukan logam lain (3.7 peratus)," katanya.

Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan, Mohd Uzir berkata pertumbuhan 1.9 peratus dalam sektor itu dipacu oleh peningkatan pengeluaran output petroleum mentah dan kondensat serta pengeluaran output gas asli yang masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 2.2 peratus dan 1.8 peratus.

"Dari segi perbandingan bulanan, indeks perlombongan meningkat kepada 17.8 peratus berbanding negatif 12.5 peratus yang dicatatkan pada Februari 2025,” katanya.

Sementara itu, indeks elektrik kekal pada kadar negatif 2.7 peratus pada Mac 2025 walaupun ia mencatatkan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 11.2 peratus berbanding Februari.

Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara lain menunjukkan trend penurunan pada Mac 2025, termasuk Taiwan (13.6 peratus), Vietnam (9.3 peratus), Korea Selatan (5.3 peratus), Amerika Syarikat (1.3 peratus) dan Jepun (-0.3 peratus).

"Secara keseluruhan, pada suku pertama 2025, IPP merekodkan pertumbuhan perlahan 2.3 peratus berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2024, dipacu oleh sektor pembuatan yang berkembang 4.2 peratus.

"Sebaliknya, IPP bagi sektor perlombongan dan elektrik masing-masing mencatatkan penyusutan 3.3 peratus dan 1.9 peratus. Berdasarkan perbandingan suku ke suku, IPP turun 2.1 peratus,” tambah Jabatan Perangkaan.

-- BERNAMA