BERITA TERKINI   Polis rampas 510kg methamphetamine bernilai RM25.5 juta, tahan lima individu di Padang Besar minggu lepas - Pengarah JSJN Bukit Aman | Bimoffice Group Bhd mula disenaraikan di Pasaran LEAP dibuka dengan premium 11.5 sen berbanding harga IPO sebanyak 15 sen, dengan 40,000 saham diniagakan | 

AirAsia Malaysia Gantung Penerbangan Amritsar Susulan Penutupan Lapangan Terbang

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- AirAsia Malaysia telah menggantung sementara, penerbangan masuk dan keluar dari Amritsar, India berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sri Guru Ramdas Jee Amritsar.

AirAsia Group Bhd melalui satu kenyataan berkata penggantungan itu bermula hari ini sehingga 9 Mei selepas ketegangan antara Pakistan dan India memuncak.

"Kami sedang mengawasi keadaan dan komited untuk mengutamakan keselamatan penumpang serta kru kami. 

"Kami telah menghubungi semua penumpang yang terjejas oleh penggantungan sementara penerbangan. Para penumpang yang pergi ke/dari Amritsar digalakkan untuk memeriksa e-mel dan telefon bimbit mereka bagi pemberitahuan penggantungan," katanya.

AirAsia juga menjelaskan penumpang dengan tempahan penerbangan yang dibatalkan ke/dari Amritsar semasa tarikh tersebut telah disediakan dengan pelbagai pilihan pemulihan perkhidmatan (SRO) untuk memudahkan pelan perjalanan mereka.

Penumpang juga digalakkan untuk mengemas kini butiran hubungan mereka di AirAsia.com bagi memastikan bahawa mereka diberitahu tentang apa-apa kemas kini berkaitan penerbangan mereka.

"Operasi penerbangan lain masih berjalan seperti biasa tetapi dengan sedikit pelarasan, termasuk mengarahkan laluan tertentu untuk mengelak ruang udara kawasan berkenaan selain memastikan keselamatan, sejajar dengan panduan yang dikeluarkan dari pihak berkuasa berkaitan," katanya.

-- BERNAMA