BERITA TERKINI   Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari | Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | 

Pasaran Getah Malaysia Ditutup Dalam Dagangan Bercampur-campur

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun susut sedikit pada Rabu dan dijangka mencatatkan penurunan bulanan terbesarnya dalam tempoh lapan tahun apabila dasar tarif AS mencetuskan kebimbangan terhadap permintaan global. Jangkaan peningkatan bekalan juga memberi tekanan terhadap harga.

“Kenaikan selanjutnya (bagi Standard Malaysian Rubber 20 atau SMR 20) dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS, data ekonomi China yang lemah dan penurunan harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga SMR 20 naik tujuh sen kepada 745.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 2.5 sen kepada 614 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup esok, 1 Mei, sempena cuti umum Hari Pekerja dan akan beroperasi semula pada Jumaat, 2 Mei.

-- BERNAMA