BERITA TERKINI   PM PALESTIN DAKWA GENCATAN SENJATA GAZA TIDAK DILAKSANAKAN SEPENUHNYA, ISRAEL LAKUKAN "KEPUNGAN EKONOMI" | 

Bekas Penyunting Bahasa Inggeris Bernama Teoh Hock Siew Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Bekas penyunting Bahasa Inggeris Bernama Teoh Hock Siew meninggal dunia semalam, pada usia 75 tahun.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh bekas Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Mustapha Kamil Mohd Janor menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Teoh pernah berkhidmat sebagai penyunting di Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama selama lebih lima tahun.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Bernama Yong Soo Heong menyifatkan Teoh sebagai “seorang yang berperwatakan menarik dari Pulau Pinang” kerana membawa keperibadiannya yang tersendiri ke bilik berita.

Sementara itu, Mustapha Kamil berkata Teoh pernah bertugas di meja penyuntingan Business Times ketika beliau mula menyertai organisasi itu.

“Bersama seorang lagi penyunting, Teh Poh Chee, mereka berkhidmat dalam jangka masa yang agak lama di Business Times dan menjadi tulang belakang kepada pasukan ‘gatekeeper’ akhbar itu,” katanya.

Teoh merupakan penyunting berpengalaman di Business Times sebelum menyertai Bernama, dan beliau dikenali sebagai anggota pasukan editorial yang berdedikasi serta memainkan peranan penting dalam mengekalkan standard penerbitan akhbar berkenaan.

Upacara penghormatan terakhir mendiang akan diadakan di Nirvana Centre Kuala Lumpur pada 27 hingga 28 April, diikuti upacara kremasi pada 29 April di Nirvana Crematorium.

-- BERNAMA