BERITA TERKINI   Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | 

Labuan FSA Lancar Galakan Strategik Untuk Inovasi, Pekerjaan, Keyakinan Pelabur Pada 2025

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) menetapkan hala tuju bagi 2025 dengan komitmen terhadap pembaharuan kawal selia, inovasi digital dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif seperti digariskan dalam Laporan Pasaran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) 2024 hari ini.

Ketua Pengarah Labuan FSA Nik Mohamed Din Nik Musa berkata dengan Pelan Hala Tuju Strategik 2022–2026, momentum pertumbuhan Labuan IBFC telah memberi impak yang ketara kepada ekonomi Labuan, dengan kadar pekerjaan meningkat lima peratus menjadikan tenaga kerja kepada 5,006.

“Kejayaan ini disumbangkan oleh keperluan bahan ekonomi dan pengembangan sektor secara strategik,” katanya pada majlis pelancaran laporan itu di Dewan Persidangan Sasana Kijang di sini hari ini.

Nik Mohamed Din berkata enam syarikat amanah baharu memasuki pasaran, memacu peningkatan hasil sektor kepada US$40.8 juta (RM176.07 juta), naik sebanyak 30 peratus manakala keuntungan melonjak sebanyak 86 peratus. 

Sehubungan itu, kewangan digital Islam terus berkembang, disokong oleh pengecualian cukai bagi pengendali takaful digital yang diperkenalkan pada Oktober 2024.

Nik Mohamed Din menegaskan usaha pembangunan pusat itu bukan semata-mata bersifat kewangan. 

“Selain pencapaian kewangan, Labuan IBFC telah menyumbang dan akan terus memacu manfaat ekonomi kepada Labuan. 

“Pusat ini akan terus memperkukuh sinergi ini dan menyokong agenda pembangunan Labuan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada perancangan berpandangan ke hadapan sempena ulang tahun ke-35, Labuan FSA menggariskan lima keutamaan strategik untuk tahun depan, termasuk memacu inovasi pasaran dan pendigitalan, mencapai hasil penilaian bersama FATF yang positif, mengukuhkan penyeliaan kawal selia melalui Sup-Tech, memperkukuh pengiktirafan Labuan IBFC di peringkat global dan memacu automasi untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Labuan FSA mengulangi komitmennya untuk mengekalkan kestabilan pasaran, menerima pakai inovasi dan mendukung ketelusan, tonggak penting untuk menarik pelabur dan membina keyakinan global terhadap Labuan sebagai sebuah bidang kuasa kewangan antarabangsa yang berdaya saing.

-- BERNAMA