BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 7-0 PDRM FC | MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | 

Indeks Harga Pengeluar Malaysia Susut 1.9 Peratus Pada Mac 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) susut 1.9 peratus pada Mac 2025 berbanding peningkatan 0.3 peratus pada Februari 2025, terutamanya disebabkan oleh sektor perlombongan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perlombongan terus menunjukkan aliran menurun pada 2025 dengan penyusutan dua digit iaitu sebanyak 15.0 peratus pada Mac 2025 berbanding susut 9.7 pada Februari 2025.

Katanya, penurunan itu disumbangkan oleh kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-16.2 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-14.5 peratus).

“Sektor pembuatan turut merekodkan penurunan 1.8 peratus (Februari 2025: -0.3 peratus), dengan kemerosotan ketara dalam pengeluaran kok dan produk petroleum bertapis  (-16.2 peatus) dan pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (-5.1 peratus). 

“Sektor bekalan elektrik dan gas turut mencatatkan penurunan 0.5 peratus (Februari 2025: -0.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan kekal dengan aliran positif, iaitu meningkat 9.9 peratus (Februari 2025: 15.2 peratus), didorong oleh pertumbuhan subsektor penanaman tanaman kekal (16.9 peratus).

Beliau berkata sektor bekalan elektrik turut merekodkan kenaikan 0.7 peratus pada Mac 2025.

Selain itu, Mohd Uzir berkata pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan merosot 0.6 peratus pada Mac 2025 berbanding kenaikan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya, sektor perlombongan susut 3.8 peratus susulan penurunan dalam pengekstrakan gas ali (-5.7 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-3.0 peratus).

“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turun susut 0.5 peratus, disebabkan oleh indeks perikanan (-2.1 peratus) dan penanaman tanaman kekal (-0.4 peratus),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan menurun sebanyak 0.3 peratus yang didorong oleh penyusutan dalam indeks pengeluaran kok dan produk petroleum bertapis (-0.5 peratus).

“Sektor bekalan air pula merekodkan penurunan marginal sebanyak 0.1 peratus, manakala bekalan elektrik dan gas meningkat 0.3 peratus,” katanya.

Mengenai perbandingan dengan negara terpilih, Mohd Uzir berkata IHPR Amerika Syarikat merekodkan peningkatan 2.7 peratus dan Jepun menunjukkan kenaikan 4.2 peratus, manakala China mencatatkan penyusutan 2.5 peratus dan Thailand pula menurun sebanyak 1.6 peratus.

-- BERNAMA