BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Tidak Menentu Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal tidak menentu minggu depan berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan dinamik geopolitik yang berubah.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata komoditi berharga itu berkemungkinan diniagakan dalam julat yang lebih luas apabila pelabur menilai isyarat bercampur-campur daripada ekonomi-ekonomi utama.

"Minggu depan mungkin menyaksikan lebih banyak turun naik yang sama. Dengan pemimpin-pemimpin ASEAN bersiap sedia untuk potensi perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat dan China bagi menunjukkan kelonggaran diplomatik, naratif itu mungkin terus condong ke arah optimis yang berhati-hati.

"Jika itu berterusan, emas mungkin berhadapan kesukaran untuk mendapatkan semula momentum menaik yang kukuh dalam tempoh terdekat. Memandangkan sifat rundingan perdagangan global yang tidak menentu, penurunan juga mungkin terhad.

"Turun naik harga komoditi itu selama seminggu kini berada sekitar 6.2 peratus, menunjukkan julat dagangan yang diunjurkan sekitar US$90 berdasarkan harga semerta yang hampir dengan US$3,300," katanya kepada Bernama.

Innes berkata julat yang dijangkakan secara munasabah iaitu antara US$3,270 dan US$3,360 setiap auns troy pada minggu depan, mencerminkan ketidaktentuan yang berterusan dan tindak balas pantas pasaran terhadap isyarat dasar.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta April meningkat kepada US$3,307.20 setiap auns troy daripada US$3,305.20 setiap auns troy pada minggu lepas, manakala Mei 2025 menokok kepada US$3,316.20 setiap auns troy daripada US$3,315.60 setiap auns troy.

Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2025 masing-masing meningkat kepada US$3,332.80 setiap auns troy daripada US$3,330.30 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan susut kepada 871 lot daripada 1,984 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 88 kontrak daripada 175 kontrak.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 24 April, harga emas fizikal berada pada US$3,314.75 setiap auns troy.

-- BERNAMA